Khamis, 25 November 2021

Sotong goreng mahal: Pelanggan sudah mohon maaf

 LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.

LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.

Georgetown: Pengusaha restoran nasi kandar di Lebuh Campbell di sini, sudah menerima permohonan maaf daripada pelanggan yang membeli dua sotong goreng berharga RM100 di restoran berkenaan.

Permohonan maaf itu dihantar pelanggan berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini, selepas kejadian itu tular di media sosial.

Pengarah restoran, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim, 30, berkata, pelanggan wanita itu mendakwa hanya memuat naik gambar resit dan sotong goreng berkenaan di Instagram Story, semalam, tanpa sebarang keterangan.

Namun, pelanggan terbabit mendakwa terdapat individu yang tidak bertanggung jawab membuat salinan skrin sebelum menularkannya dengan menulis keterangan tidak benar.

"Pelanggan itu memaklumkan gambar berkenaan turut dikongsi menerusi Facebook individu itu dan di tag kepada kira-kira 70 kenalannya sebelum tular.

"Pelanggan itu menghantar pesanan kepada saya bagi beri penjelasan sebenar selain mengaku tahu akan harga hidangan sotong goreng berkenaan.

"Selain itu, pelanggan berkenaan turut meminta saya supaya memuat naik perbualan berkenaan supaya orang ramai mendapat penjelasan sebenar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Riyaaz, berikutan itu pihaknya menerima permohonan maaf daripada pelanggan berkenaan kerana dia tidak berniat bagi menjatuhkan reputasi restorannya.

"Namun, kami sedang mempertimbangkan untuk membuat laporan polis terhadap individu yang bertindak membuat salinan skrin serta menulis keterangan yang boleh menjejaskan nama restoran ini," katanya.

-myMetro

0 comments:

Catat Ulasan