Suasana Pantai Siring di Serkam, Melaka kelihatan tenang dan nyaman.
Beberapa penduduk dan pelancong membawa keluarga mereka untuk bermandi-manda.
Tidak kurang juga mereka yang menikmati minum petang sambil menikmati pemandangan laut di gerai-gerai berhampiran pantai.
Para nelayan di sekitar pantai Serkam menghadapi beberapa masalah yang perlu diselesaikan.
Di Jeti Serkam, mereka meminta muara yang cetek didalamkan sedikit.Selain itu, bumbung di tempat pendaratan ikan juga rosak akibat gangguan monyet liar.
Seorang nelayan juga mengadu mengenai kehadiran kapal-kapal tongkang yang menceroboh kawasan tangkapan mereka.
Semua itu perlu diberi perhatian oleh calon yang berjaya menggalas tanggungjawab sebagai ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam selepas 20 November ini.
Serkam merupakan kubu kuat Umno dan Barisan Nasional (BN) sejak dahulu lagi.
Ia disandang oleh Zaidi Attan yang akan mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Zaidi yang merupakan calon BN menyandang kerusi itu sejak 2013.
Namun kerusi itu mungkin bertukar tangan kali ini.
Seorang nelayan yang hanya ingin dikenali sebagai Rahim Abdullah berkata, wakil rakyat hendaklah berjumpa dan mendengar sendiri masalah rakyat.
“Ini tidak, dia (Zaidi) datang makan sahaja, tanya apa masalah pun tidak,” katanya ketika ditemui MalaysiaNow.
Katanya, ramai yang merungut dengan khidmat Adun BN itu jarang turun padang atau hanya mengarahkan pegawai menjadi wakil.DUN Serkam menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Zaidi, Muhammad Khomeini Kamal (Pakatan Harapan), Ahmad Bilal Rahudin (Perikatan Nasional) dan Norazlanshah Hazali (Bebas).
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, Zaidi berjaya mendapatkan 6,401 undi, menewaskan Nor Khairi dari PKR dan Ahmad Bilal yang ketika itu calon PAS.
Bilal, seorang anak tempatan dan juga ketua Pemuda PN Melaka, akan bertanding kali kedua.
Beliau mengakui, tidak popular berbanding Zaidi namun populariti bukan menjadi satu-satunya pertaruhan anak muda itu.
Katanya, sekiranya terpilih, masalah banjir kilat dan muara cetek akan menjadi keutamaan beliau untuk diperjuangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
“Selepas PRU-14, saya masih turun ke lapangan bersama rakyat, lebih-lebih lagi dalam musim pandemik. Kita ada banyak memberikan sumbangan dan bantuan.
“Dari segi kebajikan memang saya dah lama bergelumang dengan rakyat,” katanya kepada MalaysiaNow.
Bilal menjangkakan undi Melayu akan terhayun kepada PN.Bagaimanapun, Timbalan Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah memaklumkan parti itu mengakui sukar untuk memenangi kelapan-lapan kerusi yang ditandinginya dalam PRN kali ini.
Katanya, PAS hanya berkemungkinan menang kurang daripada enam kerusi DUN.
Mengulas kenyataan Amar berhubung peluang PAS menawan kerusi Serkam, Bilal berkata dia tidak meletakkan satu sasaran yang tinggi sebaliknya akan berusaha sebaik mungkin.
“Setakat ini kami masih bekerja. Peluang itu ada di DUN serkam,” katanya ringkas.
Bagi nelayan seperti Rahim, angin perubahan itu sememangnya ditunggu beliau dan rakan-rakan.
Setidaknya, perubahan tampuk pimpinan di DUN Serkam boleh memberi harapan kepada golongan nelayan untuk melihat masalah mereka diselesaikan.
-Anak Sungai Derhaka
0 comments:
Catat Ulasan