Isnin, 15 November 2021

PRN Melaka: Janji tak masuk mana-mana parti, 13 calon bebas tandatangan SD

PRN Melaka berjalan dengan SOP ketat yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Seramai 13 calon Bebas yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di bawah Gagasan Bebas secara rasmi menandatangani Akuan Bersumpah (SD) hari ini.

Langkah tersebut diambil bertujuan bagi membuat ketetapan agar mana-mana calon bebas yang menang dalam PRN nanti tidak mencabuli mandat yang diberikan pengundi pada PRN Melaka dengan menyertai mana-mana parti politik, kata Setiausaha Sekretariat Gagasan Bebas Mohammad Zaki Omar.

“Satu rang undang-undang atau enakmen juga akan dibentangkan (sekiranya Gagasan Bebas berjaya membentuk kerajaan) bertujuan mengadakan peruntukan pengosongan kerusi mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang keluar parti atau gagasan masing-masing sehingga tahap menjatuhkan kerajaan.

“Jika ada yang mencabulinya, calon diberi masa tiga hari mengosongkan kerusi dan melepaskan jawatan sebagai ADUN atau tindakan mahkamah boleh difailkan ke atas ADUN tersebut,” katanya lapor Bernama.

Menyentuh mengenai kempen, beliau berkata semuanya berjalan lancar dengan calon-calon gagasan itu menggunakan pelbagai pendekatan termasuk media sosial bagi mendekati pengundi kawasan masing-masing.

 “Walaupun seperti kami mementingkan SD ini, tapi usaha mendekati pengundi tetap dijalankan dan ini penting kerana kita mahu pengundi faham apa yang kita perjuangkan untuk kestabilan politik Melaka.

“Untuk manifesto, kita rancang untuk bentangkannya esok dan bagi kami, ia tidak lambat walaupun hari mengundi tinggal beberapa hari sahaja lagi,” katanya lagi.

Seramai 13 daripada 22 calon Bebas di 16 Dewan Undangan Negeri (DUN) mengambil langkah bergabung dan berkongsi manifesto untuk bersama-sama bersaing dengan 90 calon lagi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Calon gabungan dikenali sebagai ‘Gagasan Bebas’ itu antaranya merangkumi Ariff Adly Mohammad (Telok Mas), Mohd Zahar Hashim (Sungai Udang), Abdul Hamid Mustapah (Bukit Katil), Ahmad Muaz Idris (Ayer Molek), Datuk Kamisan Palil (Kuala Linggi) dan Datuk Dr Norazlanshah Hazali (Serkam).

Turut berada dalam gabungan itu ialah Mohd Akhir Ayob (Asahan), Azefen Amin (Gadek), Mohd Jaini Dimon (Paya Rumput), Azlan Daud (Machap Jaya), Mohd Erfan Mahrilar (Durian Tunggal), Muhamad Hafiz Ishak (Duyong) dan Sabarudin Kudus (Rembia).

-Agenda Daily

0 comments:

Catat Ulasan