Isnin, 29 November 2021

Persatuan Pengguna Kedah terima aduan roti canai dijual RM4 sekeping di Langkawi

Persatuan Pengguna Kedah terima aduan roti canai dijual RM4 sekeping di Langkawi

Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) dakwa menerima aduan daripada pengguna sekeping roti canai dijual pada harga RM4 di Langkawi.

 ALOR SETAR: Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) menerima lebih 100 aduan daripada pengguna berkaitan kenaikan harga makanan serta bahan mentah di negeri ini.

Setiausaha CAKE, Mohd Yusrizal Yusoff berkata, kebanyakan aduan yang diterima adalah berkaitan makanan di kedai makan terutama di daerah Kota Setar dan Kuala Muda.

Beliau berkata, aduan diterima sejak dua minggu lalu dan ternyata ia membebankan pengguna yang mempunyai keluarga besar.

"Selain aduan berkaitan harga mahal ikan siakap di Langkawi, kita juga menerima maklumat berkaitan harga roti canai sekeping RM4 di pulau itu.

"Harga itu tidak masuk akal kerana berdasarkan maklumat daripada pengguna, kedai roti canai itu hanya dijual di tepi jalan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Sehubungan itu Mohd Yusrizal meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah melakukan pemeriksaan di setiap gerai atau premis kedai makan yang didapati menaikkan harga yang tinggi.
Selain itu katanya, peniaga kedai makan juga perlu meletakkan tanda harga untuk setiap makanan bagi membolehkan pengguna membuat pilihan sebelum membuat pesanan.
"Sekiranya didapati peniaga mengenakan harga yang tidak munasabah dan terlalu mahal, pengguna perlu menyimpan resit dan membuat aduan bagi membolehkan siasatan dilakukan pihak berkuasa.
"Malah kita berharap peniaga juga jangan mengambil kesempatan menaikkan harga ketika ini bagi mengelakkan pengguna terbeban," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kedah, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, pihaknya belum menerima aduan berkaitan kenaikan harga sekeping roti canai dijual pada harga RM4.
Bagaimanapun pihak KPDNHEP telah menggerakkan pegawai dan anggota penguatkuasa menerusi “Op Menu” bagi melakukan pemeriksaan di restoran dan kedai makan di seluruh negeri.
“Operasi ini dijalankan bermula 6 November lalu tertumpu kepada aduan orang awam berlakunya kenaikan harga makanan.
“Menerusi pemeriksaan ini KPDNHEP melakukan pemeriksaan terhadap harga makanan dan minuman serta alat penimbang di restoran yang menjual makanan laut,” ujar Mohd -AstroAwani

1 ulasan:

  1. Hairannya, pihak KPDNHEP kata tiada aduan diterima pihaknya tentang kenaikan harga tersebut. Hasil operasi dan pemantauan pihaknya pun tidak menemui masalah tersebut. Patutnya, pihak Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) memaklumkannya terus secara bertulis kepada pihak KPDNHEP dengan mengemukakan bukti (salinan aduan bertulis) itu kepada pihak KPDNHEP supaya siasatan dan tindakan pihak berkenaan dalam keadaan lancar bukannya diketengahkan kepada pihak media.

    BalasPadam