Ahad, 21 November 2021

BN Menang Besar di PRN Melaka,3 ADUN Tarik Sokongan Kalah Bertanding


BN menang besar dalam pilihan raya negeri Melaka dengan majoriti lebih dua pertiga.

Pakatan Harapan (PH) hanya mengekalkan 5 kerusi sahaja daripada 15 kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya umum 2018.

BN telah mendapat 21 kerusi, melebihi bilangan 18 yang diperlukan untuk majoriti dua pertiga.

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi DUN.

Perikatan Nasional (PN) pula hanya mendapat dua kerusi, selain sebilangan besar calonnya dan juga calon sekutunya, PAS hilang wang pertaruhan.

PH pula menang di lima kerusi. Empat kerusi disumbangkan oleh DAP dan satu lagi oleh Amanah. PKR tidak mendapat sebarang kerusi.

PH mengaku kalah, faktor utama peratus keluar mengundi rendah

PH mengaku kalah dan mengucapkan tahniah kepada BN atas kemenangan dalam PRN kali ini.

Pengerusi PH Melaka Adly Zahari berkata antara faktor utama kekalahan mereka adalah jumlah keluar mengundi yang rendah.

“Dari awal kita sudah uar-uarkan kepada semua, peluang PH hanya terletak kepada (peratus) keluar mengundi melebihi 70 peratus,” katanya kepada pemberita di bilik gerakan utama PH.

Pemimpin PH juga berkata mereka akan mengadakan post-mortem bagi mengenal pasti apa yang boleh diperbaiki.

Tiga Adun tarik sokongan sebelum ini tewas

Tiga daripada empat Adun yang menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri dari BN pada Oktober lalu, sehingga membawa kepada PRN diadakan, tewas hari ini.

Norhizam Hassan Baktee yang bertanding sebagai calon bebas gagal mempertahankan kerusi Pengkalan Batu apabila setakat ini hanya meraih 1,218 undi. Kerusi itu dimenangi BN dengan 4,708 undi. Bagaimanapun setakat ini pemenang di kerusi itu belum dapat dipastikan.

Bekas ketua menteri Idris Haron yang bertanding sebagai calon PKR pula kalah besar di Asahan apabila hanya meraih 1,344 undi. Calon BN Fairul Nizam Roslan, yang merupakan muka baru, menang dengan 4,816 undi.

Seorang lagi adalah Noor Azman Hassan yang bertanding di bawah tiket Amanah turut gagal mempertahankan kerusi Pantai kundor apabila meraih 2,799 undi. Kerusi itu dimenangi BN dengan 3,960 undi.

Seorang lagi wakil rakyat yang menarik sokongan iaitu Noor Effandi Ahmad pula tak bertanding kali ini.



0 comments:

Catat Ulasan