Ahad, 28 November 2021

Covid19: Varian Omicron lebih bahaya daripada varian Delta

 

Pakar kesihatan mencadangkan kerajaan membuat saringan terhadap pengembara dari Afrika sejak sebulan lalu. – Gambar hiasan

PETALING JAYA – Jumlah mutasi luar biasa dikesan pada varian baharu B.1.1.529 yang dinamakan sebagai Omicron me­nimbulkan kebimbangan kepada penyelidik berikutan sistem imunisasi manusia berkemungkinan sukar untuk mengawal jangkitannya.

Pakar Mikrobiologi, Jabatan Mikrobiologi dan Imunologi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Umi Kalsom Ali berkata, walaupun jumlah mutasi bukan penentu kepada tahap bahaya sesuatu varian, namun jumlah mutasi luar biasa mewujudkan kebimbangan.

“Untuk permulaan, maklumat awal tentang varian baharu perlu kita fahami selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkelaskan varian ini sebagai variant of concern (VOC).

“Berdasarkan data awal dari Afrika Selatan menunjukkan ia merebak dengan pantas di mana 100 kes dikesan awal November dan lebih 1,200 kes pada minggu akhir November. Jadi, kebanyakan saintis menjangkakan kebolehan Omicron untuk merebak seperti varian Delta adalah sangat tinggi,” katanya kepada Kos­mo! Ahad semalam.

Menurutnya, varian itu turut menunjukkan bilangan mutasi yang tinggi iaitu sebanyak 32 mutasi ‘spike protein’ virus SARS-CoV2 berbanding Delta sekitar lapan mutasi sahaja.

“Jumlah mutasi yang luar biasa itulah yang membimbangkan penyelidik kerana kemungkinan menyebabkan sistem imuniti manusia sukar untuk mengawal jangkitan daripada varian itu,” jelasnya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada kemungkinan wujud gelombang baharu akibat varian berkenaan, Dr. Umi menyifatkan jangkaan itu terlalu awal untuk dibuat.

“Bagaimanapun, jika tiada sebarang langkah diambil untuk mengekang penularan, pastinya risiko jangkitan lebih tinggi dan kesannya sama seperti varian Delta,” ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar mencadang­kan kerajaan untuk mengenal pasti individu yang masuk ke Malaysia dari Afrika sejak sebulan lalu.

“Proses mengenal pasti individu terbabit ialah bagi tujuan saringan dan mempertingkatkan survelan genomik seterusnya menjadi langkah awal dalam mengekang penularannya,” ujarnya.

-Kosmo Online

0 comments:

Catat Ulasan