Khamis, 11 November 2021

Realiti: Murung, perpisahan, cerai antara kisah sedih pasangan terjejas akibat Covid-19

Warganegara Indonesia Novita Andriyana (kiri) menyambut ulang tahun pertama anak perempuannya, Chloe Wong, seorang diri kerana tidak dapat kembali ke sini untuk bertemu semula dengan bapa kepada anaknya yang juga warganegara Malaysia.

PETALING JAYA: Seorang gadis Kelantan, Nurul, 21, sepatutnya melangsungkan perkahwinannya pada tahun lalu namun perancangan itu terpaksa dilupakan akibat pandemik Covid-19.

Setiap kali memikirkan perkara itu, dia hanya mampu menangis setiap malam kerana tidak pasti sama ada majlis perkahwinan itu dapat diadakan atau tidak.

 Sejak 19 bulan lalu, dia tidak dapat bertemu tunangnya, seorang warga British yang menetap di Arab Saudi akibat sekatan perjalanan terhadap pasangan bukan warganegara.

Lebih menyedihkan, sehingga kini tidak ada sebarang petunjuk sama ada sekatan itu akan ditamatkan nanti.

Nurul berkata majlis perkahwinan itu terpaksa dibatalkan memandangkan tunangnya tidak dapat masuk ke negara ini dan dia juga tidak dapat ke sana kerana perlu menjaga ibu yang mengalami penyakit angin ahmar.

“Saya kini hanya mampu menangis setiap malam. Saya juga tidak cukup tidur. Saya sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku,” katanya kepada FMT.

“Sekiranya berkahwin, kami juga bimbang akan banyak bertengkar disebabkan terpaksa berjauhan.”

Kisah Nurul antara yang dikongsi di laman “Love Is Not Tourism” di Facebook dan ia adalah sebahagian usaha di peringkat global untuk menyatukan semula pasangan dan keluarga yang terpisah akibat sekatan perjalanan dan penutupan sempadan akibat pandemik Covid-19.

Pengasasnya yang mahu dikenali sebagai Elise berkata, laman untuk rakyat Malaysia pula diasaskan pada Julai 2020.

Katanya, ia bertujuan untuk menggesa kerajaan mempertimbangkan situasi pasangan berkahwin dan tidak berkahwin serta anak-anak yang terpisah akibat sekatan perjalanan dengan memberi kelonggaran kepada mereka.

Walaupun Jabatan Imigresen melancarkan MyTravelPass (MTP) pada Oktober 2020 untuk memudahkan proses permohonan kebenaran masuk dan keluar ketika pandemik namun banyak permohonan pasangan warga asing dan anak-anak dikatakan telah ditolak.

Elise berkata terdapat ramai pasangan asing sama ada terkandas di luar negara ketika visa mereka tamat tempoh atau tidak mempunyai visa pasangan dan mereka ini masih tidak dibenarkan untuk masuk ke Malaysia.

“Terdapat pasangan warga asing yang menetap lebih 10 tahun di Malaysia namun gagal kembali ke sini. Bapa rakyat Malaysia tidak dapat melihat bayi mereka yang baru dilahirkan dan tidak dibenarkan bertemu anak di luar negara,” katanya.

Elise berkata ia menimbulkan kesukaran mereka yang terpaksa menjadi ibu atau bapa ‘tunggal’.

Beliau berharap kisah pasangan terpisah yang diketengahkan itu akan mendapat perhatian Putrajaya, seterusnya meyakinkan kerajaan untuk meluluskan permohonan MTP kepada pasangan warga asing dan anak-anak warganegara serta pasangan tidak berkahwin dengan dokumen sokongan membuktikan hubungan mereka.

“Kami letih apabila banyak permohonan MTP ditolak. Terdapat banyak kisah pasangan yang mengalami kemurungan, bercerai dan berpisah.”-FMT

0 comments:

Catat Ulasan