KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) akan mengkaji semula semua persefahaman yang dicapai dengan kerajaan sebelum ini susulan pengesahan bahawa Putrajaya setuju menghadiahkan sebidang tanah dan seunit rumah dianggarkan bernilai RM100 juta yang diminta bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pendedahan itu mengejutkan apabila Kabinet sebulat suara menerima permohonan Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan.
Perkara itu katanya, tidak pernah dibincang atau dimaklumkan kepada Pakatan Harapan (PH) dalam sebarang pertemuan dengan wakil pihak kerajaan.
"Pada saat rakyat sedang menderita, para doktor kontrak masih tidak jelas nasib mereka, anak B50 berdepan pelbagai rintangan dan halangan untuk belajar, dan begitu ramai rakyat Malaysia yang hilang pendapatan, tempat tinggal, malah juga nyawa, tindakan Kabinet 'menghadiahkan' tanah dan rumah kepada seorang yang telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah ternyata keputusan paling tidak bermoral dan langsung tidak masuk akal.
"Rakyat pasti tidak lupa bagaimana Najib telah mengakibatkan kerajaan dan rakyat Malaysia terpaksa menanggung hutang setinggi RM32 bilion akibat kebobrokan dan kecurangan 1MDB.
"Malah, beliau (Najib) hingga hari ini tidak dapat menjelaskan bagaimana sejumlah wang dan barang kemas yang dianggarkan bernilai ratusan juta ada dalam milikan beliau dan isteri," katanya.
Terdahulu Dr Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi) di Dewan Rakyat membangkitkan bagaimana isu hadiah itu tidak disebut dalam belanjawan negara dan meminta Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz memberi penjelasan.
Bagaimanapun Tengku Zafrul berpendapat soalan itu lebih sesuai ditanyakan kepada Jabatan Perdana Menteri kerana isu berkaitan Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 terletak di bawah kementerian terbabit.
Ia kemudian mendorong beberapa ahli parlimen pembangkang bangkit untuk meminta penjelasan.
Dr Mahathir ketika mencelah penggulungan Tengku Zafrul mengingatkan bahawa setiap perbelanjaan negara perlu dibawa ke Parlimen untuk diluluskan dan bertanya bila hal itu akan dilakukan.
"Apabila diluluskan," jawab Tengku Zafrul ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022.
Tengku Zafrul juga mengesahkan Kabinet menerima permohonan daripada Najib untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta.
Beliau bagaimanapun berkata, permohonan itu dikemukakan selepas pembentangan Bajet 2022 dibuat.
-BH Online
0 comments:
Catat Ulasan