Insiden Syamim Yahya memijak kaki Amri Yahyah masih hangat diperkatakan. Semalam beberapa media telah melaporkan pemain tengah Melaka United itu telah memohon maaf dan menjelaskan bahawa tindakannya itu ‘tidak disengajakan’.
Sedangkan dalam video ulang tayang begitu jelas menunjukkan bahawa ketika pemain dan pengadil perlawanan sedang berkerumun, pemain berusia 31 tahun itu dengan niat yang jelas telah menghulurkan kakinya di celah kaki rakan sepasukannya Giovane Gomez untuk memijak kaki Amri.
Tidak perlulah memberikan alasan bodoh mengatakan niat sebenar adalah ‘mahu membantu’. Sudah terang lagi bersuluh ia merupakan satu perbuatan biadab yang merosakkan permainan bola sepak profesional.
Walaupun Syamim mendakwa dia telah meminta maaf kepada Amri dan isu tersebut telah selesai, ia bukanlah jalan untuk terlepas dari dihukum.
Ini kerana bukan kali pertama pemain ini berkelakuan biadab di atas padang. Ketika beraksi untuk Pahang pada 2017, dia pernah digantung satu perlawanan dan didenda RM500 kerana bertindak menunjukkan isyarat lucah.
Justeru itu, Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu memandang serius akan perkara ini. Berikan sahaja hukuman yang berat kepada pemain yang berlagak ‘samseng’ di atas padang seperti Syamim Yahya.
Insiden ‘ganas’ seperti ini sering berlaku dalam pentas Liga Malaysia. Amri Yahyah yang menjadi ‘mangsa’ dalam kes ini juga pernah digantung tiga perlawanan dan didenda RM1,500 selepas didapati bersalah menumbuk pemain import Kelantan, Mohammed Ghaddar pada 2012.
Beberapa insiden lain juga menyaksikan FAM hanya memberikan hukuman penggantungan dua atau tiga perlawanan sahaja. Pastinya ia tidak cukup untuk memberi pengajaran kepada pemain lain agar tidak melakukan perkara yang sama pada masa akan datang.
Berikan sahaja hukuman yang lebih berat seperti gantung 10 perlawanan sebagai isyarat jelas bahawa FAM tidak akan sesekali berkompromi kepada pemain yang berlagak ‘samseng’ di atas padang.
Apa yang penting adalah memastikan pentas bola sepak tempatan terpelihara dan tidak dicemari dengan anasir-anasir seperti ini pada masa akan datang.
-semuanyabola.com
0 comments:
Catat Ulasan