KOTA KINABALU: Seorang wanita yang tular ketika memarahi polis semasa ditahan di sekatan jalan raya pada Jun lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini.
Tertuduh, Nur Jawaheer Ismail atau dikenali sebagai Wawa, 34, membuat pengakuan tidak bersalah itu dihadapan Majistret, Stephanie Sherron Abbie.
Wawa didakwa atas kesalahan mengaibkan kehormatan seorang anggota polis iaitu Koperal Maslin Samih dalam sekatan jalan raya di Jalan Kepayan, kira-kira 5.30 petang pada 1 Jun lalu.
Tertuduh didakwa menyebut perkataan ‘Nasib kau ni lelaki, kalau kau perempuan sudah lama aku kasi telanjang kau, aku rungkup kau’ dan perkara ini didengari oleh Inspektor Hamzah Ismail dan Rosmini.
Mengikut pertuduhan itu, Wawa didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tempoh lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan mengambil kira kes tersebut tular dalam media sosial.
Tertuduh yang diwakili peguam Luke Ressa Balang memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya yang merupakan seorang ahli perniagaan memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan kes tersebut.
Luke memaklumkan bayaran ikat jamin RM10,000 terlalu tinggi dan memohon agar bayaran ikat jamin dikurangkan kepada RM2,000.
Selepas mengambil kira penjelasan kedua-dua pihak, Majistret membenarkan Wawa diikat jamin dengan bayaran RM2,000 dengan dua penjamin tempatan. Mahkamah menetapkan 9 Disember depan untuk sebutan semula kes.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dk Afiqah Alya dan Adibah Saiful.
Rakaman video Wawa mengherdik polis di sekatan jalan raya tular dalam media sosial pada Jun lalu menerima pelbagai reaksi pengguna media sosial.
Susulan itu, wanita berkenaan ditahan pada 17 Jun dan direman selama dua hari bagi membantu siasatan kes tersebut. -UTUSAN ONLINE
0 comments:
Catat Ulasan