Jumaat, 5 November 2021

DUN Sarawak sudah terbubar, SPR tentukan tarikh PRN: Abang Johari

 

Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sudah terbubar pada Rabu lalu dan akan dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menentukan tarikh pilihan raya negeri (PRN) diadakan, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

Abang Johari berkata Speaker DUN, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar akan membuat makluman rasmi kepada SPR berhubung pembubaran tersebut dan PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari bermula Rabu (3 Nov) lalu.

“Speaker DUN akan membuat pemakluman secara rasmi kerana itu adalah prosedurnya.

“Sekarang, terpulang kepada SPR untuk menentukan tarikh pilihan raya dan kita akan menyerahkan kepada rakyat untuk memberikan mandat baharu bagi mentadbir negeri ini,” katanya dipetik laporan portal BH dalam sidang media berhubung pembubaran DUN Sarawak di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Jelasnya, penamatan perintah darurat oleh Yang di-Pertuan Agong itu selaras dengan peruntukan dalam Seksyen 2(2) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021 selepas baginda berunding dengan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud.

“Dalam membuat keputusan ini, kami turut menelitinya dengan pihak berkuasa kesihatan dan pihak berkepentingan lain supaya pilihan raya diadakan dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kadar vaksinasi COVID-19 juga sudah mencapai tahap yang boleh diterima oleh pihak berkuasa supaya pilihan raya dijalankan dengan selamat,” katanya.

Abang Johari yang juga Pengerusi GPS bagaimanapun berkata perbincangan mengenai agihan kerusi antara empat parti komponen yang membentuk GPS sudah diadakan namun masih di peringkat awal.

“Tunggulah dulu, DUN pun baru saja dibubarkan,” katanya lagi.

Sebelum Perintah Darurat seluruh negara ditamatkan pada 11 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan Proklamasi Darurat bagi Sarawak bermula 2 Ogos lalu hingga 2 Februari tahun depan berikutan ancaman kepada kesihatan awam disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Berikutan pengisytiharan ini, PRN-12 yang sepatutnya diadakan selepas tempoh DUN Sarawak tamat pada 7 Jun lalu ditunda ke tarikh lain selepas Proklamasi Darurat itu ditamatkan.

Justeru, selepas penamatan Proklamasi Darurat pada Rabu baru-baru ini, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari bagi menjamin hak rakyat Sarawak untuk memilih kerajaan selaras dengan amalan demokrasi berparlimen.

-Agenda Daily

0 comments:

Catat Ulasan