Bimbang UMNO bakal menang besar di Melaka menyebabkan Bersatu kini semakin gelisah sehingga penyokong mereka semakin marah kerana UMNO menolak kerjasama, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden UMNO itu mendakwa propaganda palsu dilancarkan oleh penyokong Bersatu yang cuba mencipta cerita karut kononnya majoriti akar umbi parti itu masih menyokong kerjasama antara UMNO dan Bersatu walhal ia sama sekali tidak tepat.
“Sehingga sanggup melancarkan propaganda tidak masuk akal konon majoriti ahli UMNO mahu bersama PPBM.
“Menuduh UMNO tidak dapat bekerjasama dengan mereka disebabkan keegoan pimpinan UMNO. Sedangkan ramai mengerti seperti apa yang kerap kali diperjelaskan bahawa itu adalah keputusan parti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Zahid berkata keputusan menolak kerjasama itu sudah diputuskan lama semasa Perhimpunan Agung UMNO 2020 lalu dan ia menyebabkan Bersatu semakin gelisah apabila menyedari UMNO bakal menang besar di Melaka walaupun bertanding secara solo.
“Seperti yang ditetapkan pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 kira-kira 8 bulan yang lalu.
“Rakyat mengerti mengapa PPBM menggelisah begitu teruk disebabkan pendirian UMNO itu. Mereka sedang takut dengan bayang-bayang sendiri kerana sedar tentang perbuatan dan kezaliman mereka,” ujarnya lagi.
Jelasnya lagi, rakyat sudah menyedari fitnah yang dibuat Bersatu terhadap UMNO selama ini, bagaimanapun orang ramai sudah tidak mempercayainya lagi kini.
“Berpakat bersama DAP dan Pakatan Harapan (PH) untuk memfitnah UMNO dan para pemimpinnya sejak 2016. Bergandingan bersama DAP dan PH menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 dengan tipu daya.
“Kini perlu berdepan semula dengan UMNO dalam PRN Melaka sebelum sempat memanipulasi cerita. Selepas fitnah yang ditaburkan oleh mereka sudah tumpul dan rakyat menyedari tentang kecurangan dan hipokrasi mereka sendiri,” katanya lagi.
Menurutnya lagi, UMNO tidak perlu panik dengan serangan Bersatu kerana mengetahui pengundi Melaka akan kembali memilih mereka untuk mentadbir kerajaan negeri tersebut semula.
“UMNO tenang-tenang sahaja. Kita fokus kepada gerak kerja bersama rakyat untuk BN kembali mentadbir Melaka.
“Menerangkan rekod dan kemampuan kerajaan BN memakmurkan rakyat serta negeri Melaka,” katanya lagi.
PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu, susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk dua wakil dari UMNO sendiri yang menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Empat ADUN itu ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).
-Agenda Daily
0 comments:
Catat Ulasan