FAHAMI PANDANGAN TUAN GURU PRESIDEN PAS
Bila Tuan Guru Presiden PAS telah buat sidang media dan jelaskan pendirian PAS berhubung hubungan dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional.
Memang ada yang rasa pedih bila dengar. Sampai kata Mullah. Tapi hakikatnya itulah pandangan dan hasrat yang sedang dibincangkan oleh pimpinan serta akar umbi PAS. Bukan pandangan Tuan Guru seorang.
Sebenarnya mudah je nak faham apa yang Tuan Guru sebut. Cuma nampaknya ada yang tak faham atau buat buat tak faham.
Empat perkara utama yang disebut oleh Tuan Guru Presiden ialah:
1. PAS tak bersetuju dengan tindakan dua ADUN Bersatu kat Negeri Sembilan.
2. Susulan tindakan tersebut, PAS akan mempertimbangkan tindakan yang bersesuaian di Perlis.
3. PAS tidak bercadang tukar Exco atau Timbalan Speaker daripada Bersatu yang telah dipecat parti mereka sendiri. Kedudukan mereka dinilai berdasarkan prestasi dan tanggungjawab yang sedang dilaksanakan.
4. PAS akan mengkaji semula semua aspek kerjasama antara PAS dan Bersatu dalam Perikatan Nasional.
Selain tu, perkara yang paling banyak menimbulkan pergeseran antara PAS dan Bersatu sebenarnya bukan isu Negeri Sembilan atau Perlis sahaja.
Punca utama ialah sikap Bersatu yang tak mahu Perikatan Nasional dibuka kepada penyertaan parti-parti lain. Sikap eksklusiviti inilah yang menimbulkan rasa tak selesa PAS terhadap Bersatu.
Hasrat Tuan Guru Presiden dan kepimpinan PAS mahu melihat PN menjadi platform penyatuan Melayu Islam. Maka pintu PN perlu dan wajib dibuka kepada semua pihak yang mempunyai kesatuan pemikiran. Pejuang, Berjasa, IMAN dan Putra antara parti-parti yang bersedia nak lawan Kerajaan Madani.
Yelah mungkin ada yang akan berhujah keputusan sekat kemasukan parti lain adalah keputusan Majlis Tertinggi PN. Betul. Tapi betul ker semua parti tak bersetuju? Dr Sam sebagai Pengerusi PN perlu bersikap sebagai ketua dan mendengar semua hujah. Ada pihak bersetuju dan ada pihak tak bersetuju.
Cadangan ini kemudiannya dibentangkan dalam Mesyuarat PAS dan seterusnya diteliti oleh Majlis Syura Ulamak. Kedua-dua peringkat ini menilai secara mendalam keputusan yang dibuat oleh PN. Apa yang disebut Tuan Guru Presiden PAS adalah keputusan parti bukan individu.
PN pada asalnya dibentuk sebagai platform penyatuan umat Islam dan orang Melayu yang lebih luas, bukannya sebuah gabungan yang semakin eksklusif dan tertutup. Barangkali, disini perbezaan ketara PAS dan Bersatu.
Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia, Dr Nur Ayuni Mohd Isa berpandangan bahawa Bersatu dilihat semakin cuba mengawal hala tuju PN. Rasanya benda ni dapat dirasai oleh akar umbi PAS. Peringkat kawasan dan negeri.
Ada pihak membalas hujah Dr Nur Ayuni dan persoal data mana yang digunakan oleh Dr Ayuni. Aku tak berhasrat nak sebut detail setiap Bahagian Bersatu, tapi kami dipihak PAS Kawasan sentiasa "mengambil berat" Bahagian Bersatu. Realiti itu perit tapi perlu diakui oleh Bersatu.
PAS Kawasan dah lama sabar tanggung dan bela wakil Bersatu. Paling pedih bila dia menang, dia menghilang. Tinggal PAS Kawasan terus buat program atas nama dia.
Pada masa yang sama, kemelut dalaman Bersatu yang menyaksikan pemecatan ramai pimpinan dan ahli turut memberi kesan kepada kekuatan parti Bersatu di peringkat akar umbi dan menjejaskan kekuatan Perikatan Nasional.
Sebagai contoh, daripada enam kerusi Parlimen Melaka yang bakal ditandingi PN dalam Pilihanraya negeri akan datang, lima bahagian Bersatu dikatakan telah dibubarkan.
Tapi bab tuntut kerusi, Bersatu berselera tinggi. Walaupun jentera di lapangan semakin lemah. Calon tetap nak Bersatu juga. Ada Parlimen PAS ada 40 cawangan, Bersatu ada 4 cawangan. Tapi bab calon dia tuntut juga. Bila kita tanya, dia kata itulah setiakawan PN.
Episod pengkhianatan politik yang berlaku di Perlis dan Negeri Sembilan akan sentiasa dingati jentera PAS. Peristiwa-peristiwa seperti ini menimbulkan persoalan besar tentang sejauh mana Bersatu mampu mengawal ahli-ahlinya sendiri dan sejauh mana parti itu benar-benar menghormati semangat kerjasama dalam Perikatan Nasional.
Bersatu kata kenapa tak bawa bincang dalam mesyuarat PN apa yang ditimbulkan Tuan Guru Presiden. Nak tanya, masa Bersatu buat keputusan kat Perlis dan Negeri Sembilan, ada tak bawa dalam Mesyuarat PN dan berbincang bersama? Payahkan nak jawab?
Akhir sekali soalan yang sentiasa dalam minda ahli PAS, apakah selepas PRU16 nanti dan PN berjaya peroleh majoriti, Bersatu boleh beri jaminan tidak akan berlaku pengkhianatan seperti yang berlaku di Perlis dan Negeri Sembilan?
Jadi bila Tuan Guru Presiden sebut PAS akan kaji dan nilai semula hubungan dengan Bersatu, itu bukan bermaksud PAS dah buat keputusan untuk berpisah.
Baru kaji. Baru nilai. Belum bercerai pun.
Jadi, rilekslah. Bersatu ambil peluang ni. Perbaiki kelemahan. Ada masa nak selamatkan PN.
Salam Hormat,










0 comments:
Catat Ulasan