MELAKA – Polis Melaka semalam mengesahkan membuka kertas siasatan berhubung gambar tular bungkusan makanan yang diselit wang kertas RM50 yang didakwa mempunyai unsur politik untuk meraih undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri ini pada 20 November ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisoner Azlan Abu berkata, gambar tersebut dimuat naik sebelum tular semalam didakwa berlaku di Melaka.
“Gambar tersebut dimuat naik oleh beberapa akaun Facebook yang menunjukkan terdapat bungkusan makanan bersama duit RM50.
“Turut disertakan kapsyen gambar yang menyatakan kejadian itu berlaku di Melaka dan komen-komen mendakwa program itu berunsurkan politik bagi tujuan meraih undi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, susulan itu pihaknya telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Hasil semakan mendapati ada satu klip video berhubung kejadian itu menunjukkan agihan bantuan makanan dan wang tunai RM50 kepada warga emas.
“Bagaimanapun, menerusi klip tersebut kita tidak mengesan sebarang aktiviti meraih undi atau apa-apa lambang atau elemen parti politik,” katanya.
Tambahnya, sejak 25 Oktober lalu sehingga semalam, Polis Melaka membuka sebanyak 16 kertas siasatan dan lima kompaun pelanggaran prosedur operasi standard dikeluarkan membabitkan PRN Melaka. -K! ONLINE.
0 comments:
Catat Ulasan