PETALING JAYA: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menafikan satu berita tular yang mendakwa Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyertai parti itu setelah keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Melalui kenyataan melalui Facebook Pejuang, mereka juga menafikan menyokong Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Tidak benar,” jelas hantaran Facebook itu.
Terdahulu, tular satu hantaran Facebook yang mengatakan wujud perundingan Mohamed Azmin selaku Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk keluar Bersatu dan menyertai Pejuang sedang dilakukan.
Selain itu, tular kenyataan Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengatakan parti itu menyokong Kerajaan PN.
Sementara itu, Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Muhkriz Mahathir berkata, parti itu akan memberi fokus menyelesaikan masalah rakyat dan mengambil pendirian enggan mengulas perkembangan politik semasa.
“Pejuang merafak sembah menjunjung kasih di atas titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar fokus perlu diberikan kepada krisis kesihatan dan ekonomi yang melanda rakyat sejak lebih 17 bulan ini akibat pandemik COVID-19.
“Sememangnya itu yang dihasratkan oleh Pejuang ketika mencadangkan penubuhan Majlis Pemulihan Negara dengan menggembleng tenaga pakar bagi memberi tumpuan menyelesaikan masalah yang dihadapi.
“Berpaksikan semangat mendahulukan kepentingan rakyat, Pejuang mengambil pendirian untuk tidak mengulas mengenai perkembangan mutakhir yang dicetuskan oleh pelbagai pemimpin parti politik,” katanya menerusi kenyataan media pada semalam. -SuaraTV
0 comments:
Catat Ulasan