Jumaat, 10 September 2021

Covid19:Hati-hati guna ‘spray gun’

 

Spray gun

PETALING JAYA – Suami kepada pelakon terkenal Ummi Nazeera, Dr. Izzar Anwari Abdul Khani meminta orang ramai memahami penggunaan ‘spray gun’ atau penyembur pistol untuk penyahjangkitan permukaan di sekitar rumah bagi membasmi virus Covid-19.

Beliau yang juga Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan berkata, terdapat pelbagai jenis alat tersebut antaranya, penyembur elektrostatik, semburan kabus selain berbentuk wap.

“Alat-alat ini berfungsi dengan menukar cecair kimia disinfeksi yang terkandung di dalamnya kepada bentuk aerosol dan akan berada lama di ruang udara terutamanya jika kawasan ventilasi tidak bagus.

“Bahan kimia dalam aerosol ni boleh memudaratkan kulit, mata atau pernafasan kita,” katanya dalam satu hantaran di Instagram semalam.

Dr. Izzar Anwari

Beliau berkata, penggunaan alat berkenaan harus dilakukan dengan sangat berhati-hati dan hanya individu terlatih boleh mengendalikan penyembur jenis elektrostatik dan kabus.

Katanya, mereka perlu menggunakan bahan kimia disinfeksi yang telah diluluskan selain memakai peralatan perlindungan diri (PPE) yang cukup untuk melindungi keselamatan operator, orang sekeliling dan pengguna di ruangan berkenaan.

Menurutnya, Unit Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) tidak menyatakan penggunaan alat-alat sedemkian digalakkan atau tidak digalakkan di ruangan umum namun risiko mudarat adalah lebih besar jika digunakan di kawasan penyediaan makanan, atau tempat anak-anak bermain.

“Mencuci permukaan dengan sabun atau detergen sudah cukup selain disinfeksi menggunakan kaedah biasa seperti lap dengan cecair atau botol penyembur biasa.

“Memang tidak canggih atau hebat macam ‘spray gun’ tetapi lebih selamat penggunaannya. Kalau hendak guna leceh bagi saya. Risiko juga tinggi kalau guna dengan cara salah,” tulisnya. – K! ONLINE

0 comments:

Catat Ulasan