Rabu, 22 September 2021

Sidang Parlimen:Benar kami bahas usul 3 pegawai SPRM seleweng wang, Anwar beritahu Azhar

Anwar Ibrahim memohon usul untuk membahaskan kes tiga pegawai SPRM yang ditahan atas dakwaan penyelewengan wang dibahaskan di Dewan Rakyat bagi mendapatkan penjelasan dari sudut keberkesanan tindakan diambil kerajaan.

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menggesa Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun menerima usul untuk membahaskan kes tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditahan atas dakwaan penyelewengan wang.

Usul itu dibawa oleh Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) pagi tadi kepada Azhar.

“Sementara speaker Dewan Rakyat teliti (usul dibawa Fahmi), saya pohon sedikit pertimbangan.

“Kes ini antara yang agak serius. Kebelakangan ini bukan sahaja melibatkan kecuaian SPRM, ini pegar makan padi, melibatkan polis sebab sudah jadi urusan polis.

“Saya pohon beri ruang perkara ini dibahaskan supaya kita dapat penjelasan tentang permasalahan ini dari sudut keberkesanan tindakan diambil oleh kerajaan,” katanya di Dewan Rakyat.

Sebelum itu, Fahmi memohon usul itu diterima dan dibahaskan kerana terdapat kesan ke atas sesebuah institusi yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Ini kerana katanya, ia melibatkan kepentingan umum dan perlu disegerakan.

“Saya pohon dipertimbangkan usul ini dibenarkan. Isu penangkapan tiga anggota SPRM merupakan kes berat dan besar.”

Azhar berkata, beliau baru meneliti usul yang dibawa Fahmi itu pagi tadi.

“Saya akan menulis surat kepada Yang Berhormat (Fahmi) hari ini juga, sebelum 2.30 petang.”

Isnin lalu, SPRM mengesahkan tiga pegawainya ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan wang lebih RM25 juta dalam urusan kes membabitkan seorang bekas ketua jabatan.

SPRM memaklumkan, ketiga-tiga pegawai itu sudah dihadapkan ke Mahkamah Majistret untuk permohonan reman enam hari sejak 14 Sept lalu.-FMT

0 comments:

Catat Ulasan