KUALA LUMPUR: Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) tidak mahu terbabit dengan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik di antara Kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH), Isnin lalu.
Pengerusi PEJUANG, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata parti itu kekal dengan keputusan menjadi blok bebas yang tidak berpihak dengan mana-mana gabungan parti, termasuk PH.
"Kami tidak diundang untuk berbincang perkara ini. Kami berpendapat perlu ada kebebasan bagi parti lawan untuk membuat apa jua teguran yang perlu kerana dalam sistem demokrasi, kita perlu ada parti lawan untuk memberi teguran kepada kerajaan. Lainlah kalau kita ada kerajaan perpaduan. Itu tidak ada perjanjian tapi semua orang ada kuasa yang sama.
"Jadi, ini kita dapati kalau kita ambil bahagian kerana kita dapat pulangan tertentu. Itu bagi kita tidak sesuai kerana dia nampak seolah-olah dia ada unsur rasuah di situ, iaitu kami akan sokong kalau kamu bagi sekian-sekian kepada kami.
"Itu kita tidak boleh terima," katanya pada sidang media hari ini.
Bekas Perdana Menteri itu turut menyifatkan cara persetujuan MoU sedemikian salah.
"Kalau mahu bagi, bagi kepada semua. Sebab itu, pihak PEJUANG kita sudah buat keputusan tidak akan terlibat. Kita akan bebas dan kita akan jadi pembangkang dan kita tidak ada perjanjian. Kita bagi, dia bagi. Itu salah.
"Di pihak kita, bebas. Kita tidak terikat dengan mana-mana parti. Kita boleh bercakap dengan mereka tapi tak semestinya kita ikat diri dengan mereka," katanya.
Kerajaan Persekutuan dan PH pada Isnin lalu melakar sejarah apabila julung kali memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.
MoU yang dimeterai di Bangunan Parlimen itu merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.
Ia ditandatanagani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama ketua parti dalam PH, iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu serta Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
-BH Online
0 comments:
Catat Ulasan