Isnin, 20 September 2021

Jenayah seksual: Wanita dakwa jadi mangsa pendakwah terkenal diminta buat laporan

TANGKAP layar InstaStory di akaun Instagram milik caprice mengenai wawancara pengakuan mangsa jenayah seksual pendakwah terkenal.

 PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual melibatkan seorang pendakwah terkenal tampil membuat laporan polis.

Laporan polis itu perlu bagi siasatan lanjut dapat dijalankan selepas pendedahan yang dilakukan wanita berkenaan menerusi sebuah wawancara semalam.

Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, wawancara tersebut tidak mendedahkan identiti mangsa dan pemangsa dan seeloknya  individu yang mendakwa menjadi mangsa jenayah seksual tersebut tampil membuat laporan polis.

“Kita tidak tahu siapa pendakwah terkenal yang dimaksudkan mangsa dalam wawancara itu memandangkan ramai pendakwah terkenal di Malaysia.

“Hanya mangsa sahaja yang tahu siapa individu berkenaan, jadi dia kena datang membuat laporan polis,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai wawancara yang mendedahkan pengakuan seorang mangsa jenayah seksual membabitkan seorang pendakwah terkenal.

Terdahulu, penyanyi rap terkenal, Caprice dalam InstaStory di akaun Instagram miliknya berkongsi mengenai wawancara berkenaan dan mempersoal siapa pendakwah terkenal berkenaan.

Video wawancara berdurasi tiga minit 38 saat itu memaparkan pengakuan seorang wanita dikenali Diana telah menjadi mangsa jenayah seksual kepada seorang pendakwah terkenal.

Wanita terbabit mendakwa perlakuan terbabit berlaku selepas dirinya menghubungi pendakwah berkenaan bagi meminta pandangan mengenai masalah yang menimpa dirinya.

Namun dakwa wanita berkenaan, pendakwah berkenaan telah mengeluarkan pertanyaan lucah dan menyebabkan dirinya terasa teraniaya.

Dakwa wanita itu lagi, dia cuba memberitahu kepada keluarga dan suaminya mengenai perkara yang berlaku namun mereka tidak mempercayai dan meminta dirinya berdiam diri. – UTUSAN ONLINE

0 comments:

Catat Ulasan