Sabtu, 25 September 2021

Foto iblis, jam pasir, metafora terkini pendedahan Caprice

 

CAPRICE sekali lagi bertindak memuat naik gambar iblis dalam Instagramnya.

PETALING JAYA – Penyanyi rap dan aktivis kemanusiaan, Caprice terus-menerus mencetuskan tanda-tanya ramai apabila sekali lagi memuat naik foto berupa wajah entiti iblis dalam hantaran Instagramnya.

Perkongsian foto gambaran imej iblis dengan lidah terjelir itu turut disertakan bersama perkataan ‘husnuzon’ yang membawa maksud ‘bersangka baik’.

Sebelum ini Caprice pernah berkongsi imej serupa pada 27 Julai lalu.

Tindakan Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 33, memuat naik foto berkenaan dipercayai ada hubung kait dengan pendedahan yang bakal dibongkar membabitkan kontroversi yang menimpa pendakwah bebas terkenal, Ustaz Ebit Lew.

Menerusi hantaran berbeza, penyanyi lagu Lenglui itu turut berkongsi gambar berupa jam pasir yang dipercayai membawa simbolik menunggu waktu atau masa untuk melakukan pendedahan membabitkan Ebit.

Kosmo! pada 21 September lalu melaporkan bahawa Caprice yang baru sahaja pulang ke Malaysia selepas dua bulan berada di Jordan dan Mesir telah melancarkan ‘perang’ terhadap beberapa golongan yang telah mencemar kesucian agama dan bangsa, termasuk pedofilia.

“Tomorrow (hari ini) saya bebas. Hari ini adalah permulaan perang saya melawan predator seksual, pedofilia dan orang-orang munafik.

“Saya tidak akan pernah berhenti selagi orang itu tidak meringkuk dalam penjara. Ingat itu,” katanya.

Walaupun pendedahan dan perjuangannya untuk membuktikan kebenaran sebelum ini mendapat kecaman dan cacian daripada masyarakat, Caprice mendakwa mereka yang pernah mengugut dirinya itu satu persatu akhirnya tampil memohon maaf selepas pembongkaran mula menampakkan penjelasan.

Situasi dan konflik bertambah tegang apabila pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung menerusi siaran Telegramnya baru-baru ini mendedahkan rakaman suara dan tangkap layar perbualan lucah yang dikatakan milik seorang pendakwah terkenal dipercayai Ebit.

Firdaus berkata, dia dan pasukannya sedia berdepan dengan tindakan saman sekiranya terdapat pihak tertentu ingin mengambil tindakan undang-undang.

Jelasnya, mereka akan tetap bersama dengan mangsa-mangsa untuk mendapatkan keadilan serta memperjuangkan kebenaran.

Pada 20 Ogos lalu, siasatan ke atas Ebit dilakukan berikutan aduan diterima Polis Diraja Malaysia daripada beberapa individu yang mendakwa pendakwah itu melakukan gangguan seksual. – K! ONLINE

0 comments:

Catat Ulasan