Khamis, 9 September 2021

Tanah lot RM7 juta: Prosedur tukar hak milik ikut undang-undang

MUHAMMAD Yassir. FOTO BERNAMA
MUHAMMAD Yassir. FOTO BERNAMA

Kuala Lumpur: Tiada sebarang kesalahan berkaitan prosedur pertukaran hak milik lot tanah dua beradik wanita di tengah ibu kota sebaliknya mereka sudah menandatangani borang untuk perserahan pindah milik.

Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Yassir Yahya berkata, hasil semakan yang dibuat mendapati hak milik tanah yang dimaksudkan sudah dibuat urusan pindah milik dari dua individu kepada sebuah syarikat pada awal Julai lalu.

"Tatacara dan prosedur urusan perserahan pindah milik berkenaan mematuhi semua peraturan dan perundangan tanah seperti yang ditetapkan di dalam Akta 828 Kanun Tanah Negara.

"Instrumen dan semua dokumen sokongan bagi urusan berkenaan sudah disemak dan didapati teratur serta memenuhi keperluan di bawah Division IV Kanun Tanah Negara (KTN)," katanya ketika ditemui Harian Metro, hari ini.

Beliau mengulas laporan Harian Metro yang mendedahkan lot tanah berharga lebih RM7 juta dipindah milik tanpa pengetahuan pemiliknya.

 Mengulas lanjut, Muhammad Yassir berkata, borang 14A KTN bagi permohonan pindah milik juga didapati disempurnakan iaitu ditandatangani pemilik bersama dan disaksikan peguam selaras dengan keperluan Seksyen 211 KTN dan jadual kelima KTN.

"Selain itu, dokumen sokongan seperti salinan hak milik asal (geran asal), salinan kad pengenalan pemilik asal, salinan sijil pendaftaran syarikat dan sijil bayaran duti setem turut dikemukakan.

"Semakan pengesahan oleh Pendaftar di PTGKL melalui sistem eTanah yang diintegrasikan dengan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendapati semua maklumat berkenaan adalah sah.

"Justeru, Pendaftar di PTGKL mendaftarkan pindah milik tanah berkenaan selepas berpuas hati ia 'fit-for-registration' selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 297 Kanun Tanah Negara," katanya.

Menurutnya, selepas terdapat aduan penipuan yang dibuat pemilik tanah berkenaan, PTGKL mendaftarkan 'Kaveat Pendaftar' mengikut Seksyen 320(1)(a) KTN bagi menghentikan sebarang permohonan urusan lanjut berkaitan tanah berkenaan.

"PTGKL akan menunggu hasil siasatan polis bagi menentukan pemilik tanah berkenaan.

"Semua dokumen dan instrumen berkaitan pindah milik sudah diserahkan kepada polis untuk membantu siasatan," katanya.

Berdasarkan carian di Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) mendapati pemilik asal tanah berkenaan juga sudah membayar duti setem kira-kira RM250,000 untuk tujuan pindah milik tanah berkenaan.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan polis menahan lima individu termasuk peguam bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penipuan dalam pindah milik tanah.

Ia susulan laporan polis yang dibuat dua beradik di IPD Dang Wangi yang mendakwa tidak tahu dan tidak pernah berurusan untuk pertukaran hak milik tanah yang dianggarkan bernilai RM7 juta itu.

Bagaimanapun, kelima-limanya sudah dibebaskan selepas permohonan tambahan reman polis ditolak mahkamah.

-myMetro

Berita berkaitan

0 comments:

Catat Ulasan