PETALING JAYA – Pendakwah bebas, Ustaz Firdaus Wong Wai Hung hari ini mendedahkan sebuah klip video sumpah laknat seorang individu menerusi saluran Telegram miliknya, hari ini.
Rakaman klip video berdurasi 46 saat memaparkan seorang lelaki dari bahagian belakang itu mengakui dirinya merupakan abang kepada mangsa serangan seksual yang didakwa membabitkan seorang pendakwah popular.
“Setelah perbualan saya bersama mangsa dan ahli keluarganya menerusi Google Meet selama hampir dua jam kelmarin, ahli keluarga mangsa yang sangat ‘supportive’ (kuat menyokong) ini meminta saya kongsikan video sumpah laknat mereka.
“Ini adalah video sumpah laknat (mubahalah) dari abang mangsa sebagai saksi bagi membuktikan adiknya menerima mesej serta panggilan video lucah berkenaan sehingga mengalami kemurungan, tekanan dan cuba membunuh diri,” tulisnya.
Beliau yang juga merupakan Pengasas dan Presiden Multiracial Reverted Muslims (MRM) berkata, akan tiba masanya mereka akan tampil ke khalayak ramai demi menyatakan sebuah kebenaran.
“Buat masa ini, nama dan wajah mereka dirahsiakan dahulu. Ini adalah keluarga contoh yang menyokong jihad ahli keluarga mereka yang menerima mesej terkutuk sebegitu,” ujarnya.
Tulisan itu dilihat lebih 50,000 kali dan kali terakhir disunting pada pukul 9.11 pagi hari ini.
Sebelum itu, Firdaus Wong turut memuat naik tulisan menyatakan mangsa serta ahli keluarga beberapa individu terlibat ada menghubungi dirinya untuk memberi kata-kata semangat.
Berita berkaitan: Polis buka siasatan penularan video lucah didakwa milik pendakwah bebas
“Antara kata-kata mereka, ‘brother’ kena terus kuat untuk terus memberikan kekuatan kepada kami. Bila kami lihat ‘brother’ kuat, maka kami pun jadi kuat semula.
“Kami kasihan ‘brother’ kena maki hamun setiap hari kerana mahu menegakkan keadilan buat kami. Kami baca komen-komen itu semua terasa macam hendak balas tetapi kami ingat pesan ‘brother’ agar kami bersabar,” tulisnya.
Semalam, Firdaus Wong menerusi laman Facebook miliknya memuat naik satu hantaran yang antaranya menyatakan akan ada sesuatu yang besar bakal berlaku dalam sehari dua ini. – K! ONLINE
0 comments:
Catat Ulasan