Khamis, 23 September 2021

‘Buang atau jangan beli telefon jenama China’.Kenapa?

 


VILNIUS: Menteri Pertahanan Lithuania menasihatkan rakyatnya supaya membuang telefon bimbit dari China atau mengelakkan daripada membeli jenama dari negara itu, selepas laporan kerajaan mendapati beberapa peranti pengesan dipasang dalam telefon itu.

Pusat Keselamatan Siber negara mendedahkan, telefon bimbit yang dijual di Eropah oleh syarikat gergasi telefon pintar, Xiaomi Corp. didakwa mempunyai peranti yang boleh mengesan terma seperti ‘Free Tibet’, ‘Long live Taiwan independence’ atau ‘democracy movement’.

Keupayaan dalam perisian telefon model Mi 10T 5G Xiaomi dimatikan untuk ‘wilayah Kesatuan Eropah’, tetapi dapat dihidupkan dari jauh pada bila-bila masa.

Wakil Menteri Pertahanan, Margiris Abukevicius mengesyorkan orang ramai supaya tidak membeli telefon bimbit buatan China dan membuangnya secepat mungkin.

Xiaomi belum memberikan sebarang maklum balas dari agensi berita Reuters berhubung perkara itu.

Laporan sama turut mendedahkan telefon bimbit Xiaomi menghantar data sulit pengguna ke server Singapura.  Kelemahan keselamatan itu dijumpai pada telefon pintar model P40 5G oleh Huawei China, tetapi tidak dijumpai di telefon pintar buatan negara itu yang lain.

Laporan itu memberitahu, senarai istilah yang boleh ditapis oleh aplikasi sistem telefon Xiaomi termasuk penyemak imbas internet, merangkumi 449 istilah dalam bahasa China dan terus dikemas kini.

“Perkara ini penting bukan sahaja untuk Lithuania, tetapi bagi semua negara yang menggunakan peralatan teknologi Xiaomi,” kata laporan itu.

Hubungan antara Lithuania dan China baru-baru ini, bertambah buruk berhubung soal kedaulatan Taiwan.

-Utusan Online

0 comments:

Catat Ulasan