Khamis, 23 September 2021

Rentas negeri bukan punca utama kes Covid-19 melonjak - Khairy

 

Semalam kerajaan mengumumkan kebenaran aktiviti rentas negeri apabila kadar vaksinasi populasi dewasa mencapai 90%.

PETALING JAYA: Aktiviti rentas negeri bukan punca utama peningkatan kes Covid-19, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin di Dewan Rakyat.

Ia susulan pengumuman kerajaan untuk membenarkan aktiviti rentas negeri apabila kadar vaksinasi populasi dewasa negara mencapai 90%.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dzulkefly Ahmad berkata, kadar vaksinasi 90% untuk penduduk dewasa di negara ini hanya mewakili 60% penduduk keseluruhan di Malaysia.

Menjawab soalan yang dikemukakan bekas menteri kesihatan itu, Khairy berkata, keputusan kerajaan melonggarkan kawalan pergerakan ketika ini selepas mengambil kira pelbagai faktor, terutama tahap kesiapsiagaan kesihatan awam.

“Kerajaan juga sudah memulakan program vaksinasi kepada remaja,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan sedang membincangkan untuk menyediakan pelan kecemasan jika berlaku peningkatan kes Covid-19 pada masa akan datang selepas negara beralih ke fasa endemik.

“Kita juga perlu ambil kira pelbagai aspek lain seperti lokasi yang tercetusnya peningkatan kes positif, selain kaedah atau pendekatan bersesuaian untuk menghentikan penyebaran Covid-19, namun semuanya masih dalam perbincangan.

“Paling utama kita mahu mengelakkan daripada negara ini berdepan risiko dikenakan ‘total lockdown’ sekali lagi akibat (peningkatan kes) Covid-19,” katanya.-FMT

0 comments:

Catat Ulasan