SHAH ALAM - Seorang wanita membuat sumpah laknat mendakwa anaknya diganggu secara seksual oleh seorang pendakwah terkenal menerusi aplikasi WhatsApp dan panggilan video.
Wanita berkenaan mendakwa anaknya mengalami kemurungan dan hampir membunuh diri akibat gangguan tersebut selepas seorang lelaki yang mengaku sebagai abang mangsa membuat sumpah sama sebelum ini.
Sumpah laknat tersebut dibuat menerusi satu klip video berdurasi 49 saat yang dimuat naik oleh Pengasas Multiracial Reverted Muslims (MRM), Firdaus Wong Wai Hung dalam akaun media sosial miliknya pada Sabtu.
Menurut Firdaus Wong, wanita tersebut memberi kebenaran kepadanya untuk memuat naik video tersebut bagi menggalakkan mangsa-mangsa pendakwah tersebut supaya tampil membuat laporan polis.
Video tersebut dimuat naik menerusi akaun media sosial Firdaus Wong
"Ibu mangsa mengizinkan saya untuk berkongsikan pula video mubahalah (sumpah laknat) dia yang bersumpah dengan nama ALLAH bahawa anaknya menerima mesej dan panggilan video lucah daripada pendakwah berkenaan.
"Mereka mengizinkan kerana mereka mahu memberikan kesedaran kepada masyarakat yang perkara itu memang berlaku.
"Mereka juga mahu menggalakkan lebih ramai untuk menyokong ahli keluarga mereka yang mungkin pernah menjadi mangsa gangguan seksual agar berani tampil membuat laporan polis," katanya menerusi satu hantaran di media sosial pada Sabtu.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan seorang lelaki yang mengaku sebagai abang kepada mangsa membuat sumpah laknat mendakwa adiknya diganggu secara seksual oleh pendakwah terkenal berkenaan.
Dalam klip video berkenaan, lelaki tersebut mendakwa adiknya mengalami kemurungan dan tekanan perasaan malah cuba membunuh diri susulan menerima gangguan seksual menerusi aplikasi WhatsApp dan panggilan video daripada individu terbabit.
-SH Online
0 comments:
Catat Ulasan