Rabu, 22 September 2021

Johari tegur sikap Menteri Besar Kedah

 MUHAMMAD Sanusi. FOTO Arkib NSTP

MUHAMMAD Sanusi. FOTO Arkib NSTP

Alor Setar: Sikap Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor yang dikatakan kerap memberi kenyataan mencetuskan kontroversi mendapat perhatian ketika sesi Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, hari ini.

Datuk Johari Abdul (PKR-Gurun) ketika sesi perbahasan, meminta Muhammad Sanusi (Pas-Jeneri) mengawal dirinya ketika membuat kenyataan terbuka kerana beliau turut membawa imej negeri dan rakyat Kedah secara keseluruhan.

"Ini bukan isu peribadi dan Jeneri adalah kawan saya yang menjadi pemimpin kepada rakyat Kedah. Cuma Jeneri perlu kawal perasaan apabila buat kenyataan agar ia menjadi perangsang, motivasi dan harapan supaya kami dapat bersandar kepada Jeneri.

"Saya ke Parlimen dan orang bertanya mengapa kenyataan Menteri Besar Kedah teruk. Saya rasa cukup sayu kerana tahu Jeneri orang yang baik, jadi saya minta rakan lain bantu sama kerana imej Jeneri melambangkan kita semua," katanya ketika perbahasan usul menjunjung kasih Titah Ucapan Tuanku Sultan Kedah.

Kenyataan Johari itu turut disokong Yeo Keng Chuan (PH-Kulim) yang menganggap, Kedah kebelakangan ini berhadapan beberapa isu buruk sedangkan kepemimpinan negeri harus menunjukkan contoh baik.

"Kerana itu saya mahu menghadiahkan dua buku berkaitan pentadbiran kerajaan kepada Menteri Besar, harap beliau mendapat ilham supaya kita sama-sama tunjukkan contoh baik kepada anak cucu akan datang," katanya ketika mencelah sesi perbahasan itu.

Sementara itu, Muhammad Sanusi pada sidang medianya, menganggap teguran dibuat Johari dan Yeo adalah semata-mata persepsi sahaja dan beliau tidak perlu mengulasnya secara lanjut.

Menurutnya, ada ketika beliau hanya bergurau bersama rakan media, tetapi diambil terlalu serius oleh pihak terbabit sehingga mencetuskan isu lain.

-myMetro

0 comments:

Catat Ulasan