Jumaat, 10 September 2021

Facebook, Ray-Ban lancar kaca mata pintar berkamera berharga AS$299

 

Facebook dan Ray-Ban mengeluarkan kaca mata pintar yang boleh merakam gambar dan video.

Facebook dan jenama kacamata ikonik Ray-Ban pada Khamis, memperkenalkan kaca mata pintar mereka, usaha terbaharu dalam pasaran yang rumit, tetapi dilihat oleh gergasi media sosial itu sebagai langkah menuju masa depannya.

‘Ray-Ban Stories’ dapat merakam gambar dan video berdasarkan perintah suara pemakainya, dan bingkainya pula dapat disambungkan ke platform Facebook melalui aplikasi khas tanpa wayar.

“Kami menggunakan bentuk bingkai yang direka pada 1952, dan kami memperkemaskan semula reka bentuknya dengan menekankan beberapa teknologi yang menarik,” kata Pengarah Reka Bentuk dan Penyelidikan Kumpulan EssilorLuxottica, pembuat Ray-Ban.

Facebook pula mengembangkan teknologi Google Glass 2013, yang telah mencetuskan kecaman hak peribadi terhadap ciptaan kamera tersembunyi hingga mendorong gergasi media sosial itu menjauhkan peranti berkenaan daripada masyarakat umum.

Aplikasi perkhidmatan mesej SnapChat juga mengeluarkan kaca mata yang dilengkapi kamera, namun harganya yang mahal menyebabkan
rekaan itu sukar mendapat sambutan peminat teknologi.

Ketua Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg sebelum ini berkata ‘Ray-Ban Stories’ adalah langkah awal ke arah usaha memperkenalkan kaca mata masa depan untuk melihat pemandangan dunia nyata dengan data atau grafik dari internet.

Firma itu sebelum ini mengumpul pakar dalam kalangan kakitangan unit perkakasan, permainan dan realiti maya untuk membina dunia digital yang mendalam yang dikenali sebagai ‘metaverse’.

Dengan harga permulaan pada AS$299, ‘Ray-Ban Stories’ akan mula dipasarkan di Australia, Britain, Canada, Ireland, Itali, dan Amerika Syarikat (AS).

Kamera dipasang pada bahagian depan bingkai, manakala lengan kaca mata pula berfungsi sebagai pembesar suara untuk mendengar panggilan atau audio yang disiarkan.

Lampu putih di depan bingkai akan menyala ketika kamera dihidupkan, yang sekali gus akan memberitahu orang lain bahawa mereka sedang dirakam.

Pemakai boleh merakam gambar atau klip video sehingga 30 saat dengan menekan butang pada lengan kaca mata atau menggunakan suara untuk memberi perintah – kedua-duanya boleh menjadi petunjuk bahawa kamera dihidupkan.

“Kami mahu pengguna untuk merasai sepenuhnya kawalan terhadap pengalaman mereka merakam gambar atau video.

“Pada masa sama kami mahu orang ramai di sekeliling berasa selesa setelah mengetahui kewujudan kaca mata ini dan sentiasa peka apabila rakaman dibuat,” kata Pengurus Pengeluaran Makmal Realiti Facebook, Hind Hobeika.

Melalui akaun Facebook mereka, pengguna boleh log masuk ke aplikasi Facebook View untuk menggunakan kaca mata berkamera itu.

‘Ray-Ban Stories’ juga boleh menggunakan aplikasi tanpa wayar dan disambungkan ke telefon pintar untuk mengendalikan gambar atau video yang dirakam. – Agensi

0 comments:

Catat Ulasan