Pilihan utama untuk menjuarai Piala Malaysia adalah Johor Darul Ta’zim (JDT) namun Selangor FC diramal mampu mencipta kejutan seterusnya beraksi di final bersama juara Liga Super lapan kali berturut-turut itu.
Itu harapan dua legenda bola sepak negara, Khalid Ali dan Azman Adnan terhadap juara 33 kali Piala Malaysia itu berdasarkan peningkatan prestasi pada lima aksi terakhir Liga Super.
Azman berkata, beliau mengharapkan Selangor FC mampu bangkit dan mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kempen Piala Malaysia.
Katanya, saingan Piala Malaysia tidak seperti Liga Super apabila setiap pasukan sudah tentu akan mempamerkan aksi terbaik masing-masing dalam usaha mendakap piala tertua di Asia Tenggara itu.
JDT sudah tentu pilihan utama memenangi Piala Malaysia kerana pasukan itu boleh dikatakan mempunyai segalanya membabitkan pemain dan fasiliti.
Namun, jangan lupa juga pada pasukan lain seperti Terengganu, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Penang yang sememangnya kita lihat berpotensi menempah tiket ke peringkat empat terbaik.
“Bagi saya Selangor juga mempunyai peluang dan mengharapkan pasukan itu bangkit untuk memenangi Piala Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Khalid berkata, pasukan kerdil seperti Negeri Sembilan dan Sarawak United juga sudah tentu menyimpan impian melakukan kejutan kepada pasukan Liga Super.
“Pendatang baharu Liga Super itu sudah tentu mahu memberi ‘salam perkenalan’ kepada pasukan Liga Super dengan memberi tentangan sengit seterusnya menafikan skuad bertaraf gergasi untuk melangkah ke pusingan seterusnya.
“Jika melihat situasi terkini, sememangnya JDT menjadi pilihan namun saya tetap memilih Selangor untuk mengiringi pasukan itu ke final,” katanya.
Saingan Piala Malaysia yang membuka tirai hari ini menyaksikan empat perlawanan berlangsung membabitkan Penang FC men3ntang naib juara Liga Perdana, Sarawak United dan Kuala Lumpur City FC bertemu Sri Pahang FC.
Dua lagi perlawanan adalah membabitkan skuad bimbingan Nafuzi Zain iaitu Terengganu FC bertemu Kuching City FC manakala Selangor FC pula akan menerima kunjungan Perak FC.
-sportmalaya.com
0 comments:
Catat Ulasan