KUALA LUMPUR: Bentuk ganjaran yang dikurniakan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kepada jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menjadi tanda tanya khususnya dalam kalangan peminat sukan tanah air.
Malah, ada yang cuba mencetuskan spekulasi atau andaian bahawa TMJ yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) menghadiahkan sebuah 'supercar' kepada Azizulhasni.
Andaian itu dibuat sesetengah pihak dengan hanya melihat Azizulhasni yang dikenali senagai 'The Pocket Rocketman' bergambar bersama kereta Ford GT milik TMJ, baru-baru ini.
Namun, ada juga yang bersikap lebih positif dengan menganggap agak mustahil untuk TMJ menghadiahkan koleksi kereta kesayangannya kepada Azizulhasni.
Menurut laporan beberapa portal, kereta Ford GT itu dipandu TMJ ketika menerima mengadap pelumba basikal trek profesional itu di ibu pejabat JDT.
Berdasarkan status di Facebook HRH Crown Prince of Johor, Selasa lalu juga tidak mendedahkan apa bentuk ganjaran peribadi yang dikurniakan oleh TMJ atas pencapaian Azizulhasni di Sukan Olimpik 2020 baru-baru ini.
Azizulhasni dalam hantaran di Facebook miliknya pada hari yang sama hanya berterima kasih atas kurniaan ganjaran peribadi daripada TMJ dan turut tidak mendedahkan mengenai hadiah yang diterimanya.
"Menjunjung kasih Tunku diatas hadiah peribadi daripada Tunku kepada patik. Patik akan ingat sampai bila-bila. Semoga Allah murahkan rezeki dan merahmati Tunku serta seluruh kerajaan Tunku," tulis Azizulhasni.
Usaha BH Sukan untuk mendapatkan komen daripada Azizulhasni sendiri mengenai spekulasi yang bermain di media sosial berkaitan hadiah peribadi dari TMJ itu juga tidak berjaya.
-myMetro
0 comments:
Catat Ulasan