KUALA LUMPUR: Bukit Aman membuka satu kertas siasatan susulan penularan video dan mesej lucah di laman sosial Telegram yang didakwa membabitkan seorang pendakwah terkenal.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.
Katanya, pihaknya juga menyiasat perkara itu mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
"Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai untuk menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform terbabit sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam, menggugat keharmonian negara dan menjejaskan siasatan.
"Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini dimohon untuk menyalurkannya kepada Ketua Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Superintendan Junainah M Kasbolah atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Khabir Mohd Afandi di taliam 03-22666071.
Sebelum ini, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) membuat pendedahan berhubung gangguan seksual yang didakwa membabitkan seorang penceramah terkenal di laman sosial Telegram.
Tindakan Multiracial Reverted Muslims (MRM) mendedahkan beberapa keping tangkap layar yang memaparkan perbualan berunsur lucah di antara penceramah terkenal terbabit dengan seorang wanita itu didedahkan bertujuan untuk kesedaran bahayanya pemangsa seksual.-BH Online
0 comments:
Catat Ulasan