Isnin, 20 September 2021

Liga Malaysia:Aidil dan Zaquan bakal cipta sejarah unik

 


SEDAR atau tidak, satu sejarah unik bakal tercipta jika Negeri Sembilan FC memenangi gelaran Liga Premier 2021 pada Selasa ini.

Ini kerana kita semua bakal menyaksikan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak bersama adiknya, Mohamad Zaquan Adha masing-masing berusia 34 tahun menjadi pasangan kembar pertama yang memenangi dua kejuaraan liga berbeza sejak Liga Malaysia dijenamakan pada 2004.

Umum mengetahui Aidil telah pun menjulang gelaran Liga Super baru-baru ini bersama kelab gergasi Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) buat kali kelapan berturut-turut.

Kini tumpuan pula ke arah Zaquan bersama Negeri Sembilan FC yang bakal membuat perhitungan bertemu PDRM FC dalam misi menjulang trofi Liga Premier di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi nanti.

Mengimbau kembali perjalanan duo ini, mereka memulakan kariernya bersama Negeri Sembilan FC bermula 2006 menyaksikan Aidil bertindak sebagai pemain pertahanan sementara pemain sayap menjadi posisi tetap buat Zaquan.

Kedua-dua pemain ini kemudiannya menyertai ATM FC (yang kini dikenali Armed Forces FC) selepas berbakti lima tahun bersama Negeri Sembilan sebelum menyertai JDT yang ketika itu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengambil alih skuad Harimau Selatan pada 2013.

Tatkala Aidil konsisten bersama JDT, Zaquan pula menerima nasib berbeza apabila dia kemudiannya bermain di Liga Premier bersama JDT II pada 2014.

Zaquan kemudiannya berkelana ke Perak FC (2017), Kuala Lumpur City FC (2018) dan Kedah Darul Aman FC (2019) sebelum pulang ke pangkuan Negeri Sembilan pada tahun ini.

Zaquan sebelum ini pernah memenangi Liga Premier bersama ATM pada 2012, sekali lagi diberikan peranan untuk mengetuai Negeri Sembilan yang telah pun mengesahkan slot Liga Super 2022 selepas tujuh musim bermain dalam divisyen kedua, dalam misi menghadiahkan trofi kepada pasukan.

Jika misi itu berjaya direalisasikan, Zaquan bersama Aidil bakal mencipta satu sejarah unik di mana muncul sebagai pasangan kembar pertama yang menjuarai dua kejuaraan liga yang berbeza dalam satu musim yang sama.

Pasukan manakah yang bakal bergelar Juara di liga Premier sama-sama kita nantikan.

-Sport Malaya

0 comments:

Catat Ulasan