Jumaat, 10 September 2021

PKPD: Kerajaan Kedah gagal bantu penduduk di Kuala Kedah

ASMIRUL Anuar Aris (kiri) meninjau pusat vaksinasi sementara yang dibuka secara ‘walk-in’ di Terminal Jeti Kuala Kedah, Alor Setar hari ini. - UTUSAN/NUR ANATI JUHARI

 ALOR SETAR: Kerajaan negeri didakwa tidak mengeluarkan sebarang peruntukan untuk membantu kira-kira 20,000 penduduk di dua zon mukim Kuala Kedah di sini yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak Isnin lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris berkata, kegagalan kerajaan negeri menyalurkan bantuan segera kepada penduduk terlibat menyebabkan terdapat dalam kalangan mereka terputus bekalan makanan.

Menurutnya, keadaan tersebut menyebabkan ramai dalam kalangan penduduk di kawasan berkenaan menaikkan bendera putih dan mengharapkan terdapat pihak yang menghantarkan bekalan barangan makanan.

“Setelah memasuki hari ke empat PKPD, tiada sebarang peruntukan bantuan dikeluarkan kerajaan negeri bagi membantu hampir 20,000 orang penduduk di kawasan ini.

“Kerajaan negeri sepatutnya memandang serius isu ini hingga mengakibatkan ramai penduduk sudah mula angkat bendera putih,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau pusat vaksinasi sementara yang dibuka secara ‘walk-in’ di Terminal Jeti Kuala Kedah di sini hari ini.

Dua zon di mukim Kuala Kedah terlibat dengan PKPD bermula Isnin lalu hingga 19 September ini. 

Asmirul memberitahu, pihaknya menerima banyak panggilan daripada penduduk yang memaklumkan mereka telah terputus bekalan makanan.

“Bagaimanapun, sebanyak 186 bakul makanan dari Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Kubang Rotan telah dihantar ke Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) untuk diagihkan kepada penduduk di kawasan itu,” ujarnya.

Tambahnya, kebanyakan nelayan di kawasan itu juga keliru dengan prosedur operasi standard (SOP) PKPD sehingga mereka tidak dapat keluar menangkap ikan di laut kerana takut dikenakan kompaun.

Malah katanya, masalah yang sama dihadapi oleh petani sehingga mereka tidak dapat menuai padi dan dibiarkan rosak.

“Nelayan dan petani keliru hingga mengakibatkan hasil laut serta padi terpaksa dibiarkan rosak kerana mereka tidak dapat menjual serta menghantar bekalan di luar kawasan PKPD,” katanya. -UTUSAN ONLINE

0 comments:

Catat Ulasan