Selasa, 7 September 2021

Azeez Rahim belum bebas, kenyataan peguam hanya hujahan: SPRM

 

Bekas Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim didakwa atas tiga pertuduhan rasuah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram.

Mahkamah belum membebaskan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim daripada tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini memaklumkan kes berkenaan masih dibicarakan di mahkamah dan kenyataan oleh peguam Abdul Azeez di Mahkamah Rayuan semalam, hanya hujahan terhadap kes rayuan.

“Merujuk kepada kenyataan peguam bela bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Amer Hamzah Arshad yang berhujah di Mahkamah Rayuan semalam bahawa analisis laporan kewangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini membebaskan anak guamnya daripada dakwaan rasuah, SPRM ingin menegaskan bahawa kenyataan tersebut hanya hujahan dan belum diputuskan oleh mahkamah.

“Abdul Azeez sebelum ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 13 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram. Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Mac lalu menolak permohonannya untuk membatalkan kesemua tuduhan tersebut,” kata SPRM.

Menurut kenyataan itu, rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan itu kemudiannya didengar di Mahkamah Rayuan semalam.

SPRM berkata susulan daripada itu, laporan media yang memetik hujahan tersebut seolah-olah menggambarkan Abdul Azeez telah bebas daripada kesemua pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram sedangkan mahkamah belum membuat keputusan berhubung kes berkenaan.

“SPRM berharap orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes tersebut yang masih dalam perbicaraan sebelum mahkamah mendengar hujah balasan pendakwaan terhadap penghujahan pasukan peguam Abdul Azeez pada 6 Oktober depan,” kata SPRM.

-Agneda Daily

0 comments:

Catat Ulasan