Dua perlawanan Liga Super Malaysia berlangsung pada malam tadi dan salah satu yang menjadi tumpuan ialah pertemuan di antara Sabah menentang Selangor.
Kelibat Idefadayo Olusegun pasti menjadi tumpuan kerana peyerang import Selangor dari Nigeria itu kini memiliki 22 gol pada musim ini, dan kini bersaing dengan penyerang JDT, Bergson da Silva untuk anugerah kasut emas pada musim ini.
Sabah pula turun beraksi buat kali pertama tanpa Kurniawan Dwi Yulianto yang dipecat sebagai Ketua Jurulatih. Skuad Badak itu kini dikendalikan oleh Burhan Ajui dan dibantu oleh Jelius Ating.
Pasukan dari Borneo itu turun tanpa khidmat pemain tengah, Levy Madinda berikutan komitmen antarabangsa pemain itu bersama negaranya, Gabon.
Ifedayo tidak perlu menunggu lama untuk menyamakan jumlah jaringannya seperti yang dimiliki Bergson apabila menjaringkan gol pertama Selangor, dan yang ke-23 buat dirinya pada musim ini pada minit ke-21 perlawanan.
Kesilapan pemain pertahanan lawan yang cuba melakukan hantaran ke belakang dipintas penyerang berusia 30 tahun itu, sebelum mudah untuk beliau menolak masuk bola menewaskan Rendy Rining di hadapan gawang.
Selang dua minit selepas itu, Ifedayo sekali lagi menjadi duri di dalam daging buat Sabah apabila menyumbat gol kedua perlawanan. Kali ini, Ifedayo yang menerima hantaran dari bahagian tengah bijak melambungkan bola untuk menewaskan Rendy sekali lagi.
Ia adalah gol ke-24 peribadi Ifedayo sekaligus menjadikan beliau penjaring terbanyak Liga Super pada musim ini, mengatasi Bergson yang masih kekal dengan 23 gol selepas 21 perlawanan.
Mukhairi Ajmal menambah gol ketiga Selangor sebelum wisel penamat babak pertama ditiup, sekali lagi memanfaatkan kecuaian benteng Sabah yang hilang kawalan bola sebelu Mukhairi melarikan bola secara solo dan merembat masuk gol ketiga perlawanan.
Selangor terus menambah jaringan apabila Hakim Hassan menjaringkan gol sebaik sahaja dimasukkan untuk mengganti Mukhairi Ajmal pada minit ke-46 perlawanan
Babak kedua perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Dua percubaa berturut-turut oleh Alto Linus dan Amri Yahyah pada minit ke-58 perlawanan sekadar terkena tiang walaupun Khairulazhan telah pun tewas.
Minit ke-75 perlawanan giliran Danial Asri pula meledak jaringan untuk membenarkan Selangor mendahului 0-5 dalam perlawanan ini selepas menerima hantaran dari Ifedayo.
Akhirnya Ifedayo berjaya melengkapkan hatrik di dalam perlawanan ini untuk jaringan ke-25 peribadinya pada musim ini, sekali gus menjadikan kedudukan 0-6 pada minit ke-86 perlawanan.
Gol tersebut berpunca dari serangan balas pantas dari sebelah kiri sebelum Ifedayo menyambut hantaran lintang dengan tolakan mudah ke gawang yang kosong.
Tiga minit masa tambaha sudah tidak bererti bagi Sabah dalam perlawanan ini. Kedudukan 0-6 turut kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.
-semuanyabola.com
0 comments:
Catat Ulasan