DORTMUND, Jerman: Ollie Watkins meledak gol kemenangan pada minit terakhir untuk membantu England menewaskan Belanda 2-1 sekali gus mara ke final Euro 2024 berdepan Sepanyol di Berlin.
Ia adalah penamat hebat untuk England yang bermula dengan hambar apabila Xavi Simons meletakkan lawan mereka di depan seawal minit ketujuh pada aksi di Dortmund.
Namun England bangkit menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Harry Kane selepas semakan menerusi video bantuan pengadil (VAR) oleh pengadil Jerman, Felix Zwayer sebelum Watkins meledak gol kemenangan di hujung permainan.
Watkins yang masuk menggantikan Kane menyambut hantaran Cole Palmer sebelum berpusing dan meledak gol leret pada minit pertama masa kecederaan untuk mengecewakan Belanda.
"Secara jujurnya saya hilang kata-kata," kata penyerang Aston Villa itu.
"Saya rasa saya tidak pernah menjaringkan gol dengan bola yang cantik seperti itu jadi ini satu detik yang sangat istimewa."
Ia bukanlah kempen yang meyakinkan daripada anak buah Gareth Southgate tetapi mereka berjaya mara ke final Euro buat kali kedua berturut-turut dan menghidupkan peluang mereka memburu kejuaraan utama sejak kali terakhir pada 1966.
Bagaimanapun mereka perlu tampil dengan aksi lebih baik berbanding sebelum ini apabila mereka berdepan Sepanyol yang jauh lebih meyakinkan.
Sepanyol juga memiliki kelebihan dari segi rehat untuk menghadapi aksi final.
Belanda berharap dapat mengulangi kejayaan mereka ketika Euro terakhir berlangsung di Jerman pada 1988 namun mereka tiada kualiti bintang seperti Marco van Basten dan Ruud Gullit.
Kemenangan akan membolehkan mereka mengulangi pertembungan final Piala Dunia 2010 tetapi mereka kini akan pulang ke rumah. – AFP
-BH Online
0 comments:
Catat Ulasan