Konsert yang menelan masa sekitar tiga jam itu penuh dengan tenaga dan alunan muzik Search yang sebenar. - Gambar/ Big Stage Entertaiment
SEBENARNYA tidak ramai yang meletakkan keyakinan dan harapan tinggi apabila Kid dan Din memberi peluang kepada Amir Masdi untuk berdiri di hadapan, melantunkan lagu-lagu Search pada konsert Gemuruh malam minggu lalu.
Bukan sahaja mutu vokal yang mencetus rasa skeptikal peminat, tetapi juga 'roh' kumpulan rock tersohor tanah air itu yang mungkin akan pincang andai vokalis tidak selari dengan bawaan muzik dan alunan suara seperti yang biasa didengari selama ini.
Apatah lagi, KidDin telah meletakkan standard tinggi apabila tampil bersama Denden yang cemerlang sebagai vokalis dan diterima ramai peminat Search, dalam konsert pertama mereka selepas berpecah.
Namun, malam minggu lalu KidDin sekali lagi membuktikan vokalis pilihan yang ditampilkan tidaklah dibuat secara semberono.
Bahkan Amir tampil dengan gaya dan mutu persembahannya yang tersendiri dan dalam masa yang sama memperagakan kualiti serta stamina yang agak luar biasa.
Tidak perlu untuk membandingkan dengan mana-mana susuk penyanyi lain termasuk Denden, Amir nyata mampu memuaskan hati semua peminat Search KidDin yang hadir di mana persembahan mereka malam itu cukup menghiburkan.
Semestinya tidak akan sama antara watak seorang penyanyi dengan penyanyi yang lain, tetapi apa yang peminat Search inginkan adalah jiwa, bunyi serta mutu Search yang mampu mengembalikan nostalgia kehebatan kumpulan itu seperti satu ketika dahulu.
Maka tidak hairan andai boleh dikatakan semua yang hadir di Zepp KL dalam konsert tersebut memberikan respons yang sangat positif sejurus persembahan mereka selesai.
Konsert yang menelan masa sekitar tiga jam itu penuh dengan tenaga dan alunan muzik Search yang sebenar.
Nyata peminat yang dahagakan jeritan gitar Kid dan Din tidak hanya puas mendengarnya bahkan ditambah dengan kualiti vokal serta persembahan pentas yang hebat dari Amir.
Jika ada terkurang sedikit mungkin hanya dari sisi fitrah kebiasaan Din yang biasanya rancak ke hulu dan ke hilir di atas pentas dengan gaya gila-gila seperti sebelumnya, tidak kelihatan pada persembahan 'Gemuruh.'
Bagaimanapun rata-rata memuji aksi Amir pada malam itu yang penuh bertenaga dan tak pancit walau sedikitpun.
"Best, lama tak tengok dia orang main... memang padu.
"Penyanyi pun memang sesuailah dengan Search. Lagu slow sedap lagu tinggi pun sedap," kata pemain gitar utama Cromok, Karl, yang turut hadir menyaksikan konsert tersebut.
Pendapat Karl itu sebenarnya adalah rata-rata pujian yang diberikan kepada persembahan Search KidDin pada malam tersebut.
Apa pun, pertaruhan KidDin bersama Amir nampaknya memang berbaloi dan menjadi pada konsert kali ini.
Namun pasti kita akan tertanya-tanya, apakah Amir akan terus bersama mereka dalam konsert seterusnya atau sebaliknya?
Itu adalah satu perkara yang hanya Kid dan Din mengetahui!
-AstroAwani
0 comments:
Catat Ulasan