Khamis, 11 Julai 2024

6 MP Kekal:Sia-sia Akta Anti Lompat Parti diminta rakyat - Dr Akmal

 

Dr Akmal
Dr Akmal

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh mendakwa Akta Anti Lompat Parti yang diminta oleh rakyat negara ini hanyalah sia-sia.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, kestabilan politik dilihat untuk kepentingan diri.

"Maka sia-sialah Akta Anti Lompat Parti yang diminta oleh rakyat selama ini. Kestabilan politik hanya untuk kepentingan diri.

"Jangan marah rakyat jika mereka benci pada orang politik. Selamat menjahanamkan negara wahai katak-katak politik," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul bertindak berdasarkan Perlembagaan dan taksiran undang-undang, semasa memutuskan enam ahli Parlimen bekas ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kekal sebagai wakil rakyat.

Beliau berkata, Johari juga membaca dan membuat tafsiran undang-undang yang berkaitan secara keseluruhannya dan perkara itu seharusnya diketahui dengan jelas oleh pimpinan parti Bersatu.

Kata Perdana Menteri, ini kerana parti Bersatu telah menentang supaya keahlian sesiapa (ahli Parlimen) yang dipecat daripada parti gugur secara automatik semasa perbincangan mengenai undang-undang itu dilakukan.

Terdahulu Johari menggunakan kuasa budi bicara dalam membuat keputusan mengekalkan kedudukan kerusi enam ahli Parlimen Bersatu yang berpaling tadah menyokong Kerajaan Perpaduan sebelum ini.

Enam ahli Parlimen itu adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

-SH Online 

0 comments:

Catat Ulasan