Rabu, 17 Julai 2024

"Orang Amish: Golongan Kristian Yang Menjauhkan Diri Dari Teknologi."

 "Orang Amish: Golongan Kristian Yang Menjauhkan Diri Dari Teknologi."

Di Amerika Syarikat, ada satu golongan ini terkenal dengan pengasingan diri dari sebarang teknologi. Mereka juga hidup sebagai penganut Kristian, hanya bersederhana dengan bertanam dan hanya menaiki kereta kuda apabila hendak pergi ke sesuatu tempat.

Seolah-olah kehidupan golongan ini berundur ke zaman pertengahan Eropah! Golongan yang saya nyatakan ini ialah orang Amish.

Kewujudan orang Amish bermula dari seorang lelaki Switzerland bernama Jakob Ammann. Beliau yang lahir pada 12 Februari 1644 ialah seorang penganut Kristian yang bermazhab anabaptisme.

Anabaptisme ialah mazhab yang mempercayai bahawa upacara baptis (menyucikan diri dengan air) hanya boleh dilaksanakan apabila seseorang mengaku sebagai penganut Kristian, bertentangan dengan amalan tradisi iaitu upacara membaptis bayi.

Ammann cumalah anak tukang jahit dan tidak ada status pendidikan kerana buta huruf. Tapi kekurangan ini tidak menghalang beliau untuk menyebarkan mazhab yang dia anut kepada warga Switzerland bersama sahabat seperjuangannya bernama Swiss Brethen.

Kerana penyebaran mazhab ini, ramai menganggap Ammann sebagai ketua agama yang garang dan selalu mendesak orang ramai untuk menganut anabaptisme. Perluasan mazhab ini juga mengundang kebencian orang ramai sampai ada yang menggelar pengikut Ammann sebagai “Amish” bermula tahun 1710.

Di sinilah wujudnya nama Amish, merujuk kepada golongan pentaksub anabaptisme yang diketuai oleh Ammann, mengikut padangan warga Eropah masa itu. Gerakan Amish ini kemudian tidak diterima oleh masyarakat Eropah sendiri.

Bagi meneruskan gerakan, golongan Amish mula mencari kehidupan baru, merentasi Lautan Atlantik dan akhirnya tiba di bumi Amerika. Pengikut Ammann seramai 500 orang mula menetap di Pennsylvania dulu.

Setelah penubuhan negara Amerika Syarikat pada tahun 1776, orang Amish secara automatik menjadi warga tetap. Sehingga abad ke-18 Masihi, orang Amish mula menetap di negeri-negeri Amerika seperti Illinois, Iowa, dan Ohio.

Dalam masa 100 tahun, populasi mereka berkembang daripada 5,000 orang hingga menjadi jemaah seramai 300,000. Populasi mereka melonjak kerana kepercayaan bahawa anak itu ialah rezeki. Jadi, anak yang ramai boleh membantu keluarga bercucuk tanam.

Orang Amish terkenal sebagai mereka yang taat dengan ajaran Kristian dan hanya bercucuk tanam untuk hidup. Tapi, mereka juga mahir bertukang. Jadi mereka tidak perlu risau jika mahu membina sebuah rumah yang bersaiz besar untuk keluarga besar. Jimat dari upah si penukang rumah!

Hidup mereka walaupun terasing dari dunia penuh teknologi dan hanya hidup sebagai rakyat dari zaman pertengahan, tapi mereka tidak lari daripada tanggungjawab cukai. Malah mereka rela membayar cukai sekolah dua kali ganda supaya sistem persekolahan Amish dikekalkan.

Budaya Amish pula sangat teliti dalam etika pakaian. Sesetengah kumpulan hanya menetapkan pakaian berwarna hitam dan putih sahaja.

Butang pula dilarang bagi sesetengah orang Amish, kerana butang dipercayai “menekankan” pakaian pada badan. Manakala penggunaan zip dianggap sebagai bid’ah agama. Jadi mereka menggunakan jarum dan pengepit saja untuk cantumkan pakaian.

Ada sebab kerana orang Amish ini mengharamkan kehidupan mereka bergantung kepada teknologi. Ini disebabkan mereka berpandukan hukum-hakam Ordnung.

Hukum Ordnung secara asasnya mengharamkan penggunaan alat berteknologi mengikut golongan tertentu, seperti melarang penggunaan elektrik, kereta, televisyen dan komputer. Malah ada antara mereka yang melarang anak mengikuti persekolahan awam. Gambar juga diharamkan, kerana dipercayai tanamkan sifat riak.

Kerana hukum ini, orang Amish hidup dengan sangat tradisional. Tapi tidak bermaksud mereka membencinya dan menganggap teknologi sebagai elemen jahat, cuma mereka tidak mahu membawa nilai luar yang tidak serasi dengan kebudayaan sedia ada.

Seperti kereta, mereka anggap kenderaan ini akan menjauhkan hubungan sesama mereka. Jadi mereka masih menggunakan kuda atau kereta kuda sebagai kenderaan, supaya hubungan sesama komuniti semakin erat.

Sampai sekarang, masih ada golongan Amish yang setia dengan kehidupan tradisional. Golongan ini kemudian semakin terkenal dengan pendedahan dalam filem dan drama tempatan, seperti Rumspringa (2022) yang mengisahkan seorang lelaki Amish meneroka salasilah moyangnya di Berlin.

Oleh: Dinie Liow

Source 

......


Ramai lagi kaum-kaum di benua Amerika yang menarik sejarahnya selain orang Amish, seperti orang Sioux yang terkenal dengan menunggang kuda, dan orang Iroquois dari timur Amerika! Nak baca lagi sejarah macam ini, boleh dapatkan TAMADUN UNTUK PEMULA untuk dapatkan bacaan menarik tentang 30 tamadun! Boleh dapatkan di sini:

https://shope.ee/1qETjpPUUy

0 comments:

Catat Ulasan