Isnin, 8 Julai 2024

Tidur dalam kereta kena scam ‘homestay’ di Cameron Highlands

 

Tangkap layar pengunjung yang terpaksa tidur di sekitar stesen minyak Brinchang selepas tidak mendapat tempat penginapan di Cameron Highlands.

PETALING JAYA – Terdapat pengunjung tempat peranginan terkenal, Cameron Highlands, Pahang mendakwa terpaksa bermalam di dalam kereta akibat ditipu pengusaha inap desa.

Menerusi perkongsian video oleh @tunacameron di platform TikTok, beberapa pengunjung menjadikan stesen minyak sebagai tempat berehat sebelum meneruskan aktiviti di kawasan tanah tinggi tersebut.

“Petronas Brinchang jadi tumpuan pelancong yang tidak dapat tempat menginap malam ini.

‘Malam tak dapat tempat penginapan, esok kena hadap ‘jammed’ (kesesakan) yang entah berapa jam. Bertabahlah,” katanya menerusi di hantaran tersebut.

Menurut video tersebut, pada pukul 1 pagi, kelihatan kereta berpusu-pusu memasuki kawasan stesen minyak tersebut sebelum berhenti untuk merehatkan badan buat seketika.

Difahamkan, mereka yang berbuat demikian ialah pengunjung yang tidak mendapat tempat penginapan akibat ditipu dan menghadapi masalah teknikal seperti ‘double booking’ (tempahan berganda).

“Disebabkan berlaku limpahan pengunjung di Cameron Highlands, ada pengusaha bertindak mematikan telefon bimbit kerana tidak tahan dihubungi pelanggan terutama melibatkan tempahan dalam talian,” ujarnya.

Meninjau ke ruang komen, rata-rata turut berkongsi pernah melalui perkara yang sama ketika datang bercuti di lokasi tersebut.

“Kami satu keluarga pernah terkena. Bayar deposit RM100 tapi ‘homestay’ tiada. Nasib ‘last minute’ (saat akhir) dapat ‘homestay’ di Tanah Rata. Rezeki tetapi mahal sikit asal anak-anak dapat tidur selesa,” komen Ummi Zara.

“Hati-hati semua, saya baru saja terkena. Sebaik sahaja sampai, dia boleh buat senyap tak balas mesej dan tak angkat telefon. Silap saya tak semak dulu, rupanya ramai yang dah terkena. Duit pula dah bayar penuh, habis lesap,” ujar Nur Amirah.

“Terkandas berjam-jam di kawasan pasar malam tunggu ‘lokasi’ rumah tapi tiada jawapan. ‘Call’ (telefon) tak angkat, ‘WhatsApp’ tak balas. Sedih sungguh berpanas dengan anak kecil dan orang tua, Maka kita sekeluarga patah balik Terengganu tanpa sempat bercuti pun,” luah Ahmad Musaiyar. – KOSMO! ONLINE

0 comments:

Catat Ulasan