Khamis, 4 Julai 2024

Noh Omar sah sertai Bersatu

 

Noh Omar
Noh Omar

SHAH ALAM - Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mengesahkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuat kuasa serta-merta.

Noh berkata, permohonan itu dibuat secara terus dalam talian tanpa diketahui sesiapa pada Khamis.

Menurut bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu, keputusan berkenaan dibuat berikutan kecewa dengan nasib menimpa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak berjaya mencabar Titah Adendum di mahkamah.

"Saya amat sedih dengan nasib 'Bossku' (Najib) dan semalam (Rabu) pihak beliau gagal mencabar titah supaya menjalani baki hukuman penjara di rumah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Sehubungan itu, Noh memaklumkan, keputusan itu mendorong beliau mengubah fikiran untuk menjadi ahli Bersatu dan sudah mendapat sijil keahliannya.

Noh turut mendedahkan beliau sebelum ini beberapa kali menemui Najib di mahkamah yang berpesan supaya bersabar dan tidak memasuki mana-mana parti politik.

"Saya menghormati pandangan Bossku yang disifatkan sebagai pemimpin berjiwa rakyat dan berhati besar.

"Apabila dihadapkan ke mahkamah, beliau tidak mempergunakan UMNO dan sanggup meletak jawatan sebagai Presiden parti bagi menghadapi kes beliau secara peribadi.

Noh dalam satu video mengesahkan menyertai Bersatu pada Khamis.
Noh dalam satu video mengesahkan menyertai Bersatu pada Khamis.

"Namun, keputusan (mahkamah) ini sudah diramal berlaku dan nasib menimpa beliau amat mengecewakan saya hingga membuat keputusan untuk sertai Bersatu," ujarnya.

Tambah beliau, hanya Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu boleh menggantikan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

"Saya lihat UMNO kini macam hidup mati segan tak mahu dan sudah terlalu jauh lari daripada perjuangan asal.

"Jiwa saya masih UMNO tetapi bukan UMDAP (UMNO dan DAP).

"Saya pilih Bersatu untuk terus berjuang dalam politik dan marilah kita menaiki kapal baharu PN demi agama, bangsa dan negara," ujarnya lagi.

Pada Rabu, permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan beliau menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan itu selepas mendapati semua afidavit yang difailkan untuk menyokong permohonan itu termasuk oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presidennya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail adalah dengar cakap.

Pada Januari tahun lalu, Noh dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin sah dipecat UMNO berikutan pelanggaran disiplin pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

-SH Online 

0 comments:

Catat Ulasan