Selasa, 2 Julai 2024

Kerajaan tak kawal TikTok - Kementerian Komunikasi

 hmetro.com.my

Latifah Arifin
latifah@bh.com.my

Timbalan Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching ketika hadir pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Kuala Lumpur: Kementerian Komunikasi menyangkal dakwaan bahawa kerajaan 'mengawal' platform TikTok dengan menurunkan kandungan berunsur kritikan dan kecaman.

Sebaliknya, Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching menegaskan penyedia platform itu turut mempunyai hak dan sentiasa memantau mana-mana kandungan yang bertentangan dengan terma dan syarat serta kod standard komuniti yang ditetapkan.

"Setiap penurunan bagi sesuatu kandungan dalam talian, bukan hanya tertakluk kepada permohonan kerajaan melalui MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia).

"Penyedia media sosial turut memainkan peranan penting dalam memantau setiap kandungan dimuat naik supaya tak melanggar akta perundangan sedia ada, selain terma dan syarat serta kod standard komuniti ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) 2021 dan 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, laporan permintaan pengagihan keluar kandungan dikemukakan kerajaan yang diterbitkan pada 6 Jun lalu oleh platform TikTok menunjukkan kerajaan membuat sebanyak 1,862 permohonan.

Bagaimanapun, katanya, jumlah keseluruhan permintaan penurunan kandungan yang diterima TikTok adalah 6,231.

Katanya, ini menunjukkan bukan semua permohonan untuk penurunan kandungan dibuat oleh MCMC atau kerajaan, tetapi golongan pengguna turut berhak berbuat demikian.

"Laporan sama turut menunjukkan 2,514 kandungan telah diturunkan kerana melanggar panduan komuniti.

"Selain itu, terdapat 2,970 kandungan telah diambil tindakan atau diturunkan kerana melanggar peraturan, dalam masa sama 747 lagi kandungan (dalam kategori) 'no action' (tiada tindakan diambil).

"Maksudnya walaupun permohonan (turunkan kandungan) dihantar oleh kerajaan atau pengguna tetapi akhirnya jika TikTok merasakan kandungan itu tidak langgar komuniti standard atau undang-undang tempatan, maka mereka takkan turunkan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan tidak adil untuk sangkaan jahat ditujukan kepada kerajaan berkaitan permohonan penurunan kandungan.

Ini katanya, turut mengambil kira pelbagai permintaan penurunan kandungan antaranya berkaitan kegiatan judi dalam talian, kes penipuan dan pelbagai isu lain.

0 comments:

Catat Ulasan