BERLIN: Belanda memperoleh dua gol dalam tempoh tujuh minit pada aksi babak kedua untuk bangkit menewaskan Turkiye 2-1 sekali gus menempah slot ke separuh akhir menentang England.
Samet Akaydin meletakkan Turkiye di hadapan pada babak pertama namun Stefan de Vrij menanduk jaringan penyamaan sebelum Murt Muldur menjaringkan gol sendiri pada minit ke-76 untuk membenarkan Belanda meraih kemenangan.
Perlawanan suku akhir itu dibayangi perbalahan diplomatik antara Turkiye dan Jerman selepas wira mereka di saingan 16 terbaik, Merih Demiral digantung dua perlawanan kerana menunjukkan isyarat tangan yang menimbulkan kontroversi.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan hadir menyaksikan perlawanan di Olympiastadion bersama puluhan ribu penyokong bagi memberi sokongan kepada pasukan.
Belanda berjaya menyerap setiap tekanan yang dihadapi di dalam dan di bangku penonton untuk mara ke pentas separuh akhir pertama mereka di Euro sejak 2004.
Pengendali Turkiye, Vincenzo Montella meletakkan lima pemain di bahagian pertahanan dengan harapan pasukan mudanya boleh menghalang Belanda ketika serangan balas.
Begitupun, juara Euro 1988 terlebih dahulu mencipta peluang dengan Cody Gakpo dan Memphis Depay bergabung namun usaha berkenaan gagal menemui penyudah diinginkan.
Skuad kendalian Ronald Koeman itu tampak hambar di babak pertama selepas melancarkan serangan awal mereka yang membenarkan Turkiye mengukuhkan kemampuan mereka dalam perlawanan.
Akaydin yang menggantikan Demiral membuka tirai jaringan pada minit ke-35 menerusi tandukannya sekali gus menggamatkan stadium yang dipenuhi hampir majoritinya daripada penyokong Turkiye.
Ketika perlawanan berbaki 20 minit, Stefan de Vrij menemui jaringan penyamaan menerusi tandukannya untuk menewaskan penjaga gol Turkiye, Mert Gunok.
Enam minit kemudian, Belanda mendahului permainan apabila hantaran rendah Denzel Dumfries ditampan masuk Muldur ke gawang sendiri.
Ia adalah gol sendiri ke-10 dalam kejohanan itu. - AFP
0 comments:
Catat Ulasan