Jumaat, 5 Julai 2024

Warkah dari Warga Sungai Bakap,sempena PRK Sungai Bakap esok

 Warkah dari Warga Sungai Bakap,



SEMOGA TULISAN INI MENEMUI PEMIMPIN POLITIK, YB-YB DAN MENTERI DALAM KEADAAN SIHAT WAL 'AFIAT.

Hampir usai tempoh masa yang dipinjamkan untuk merebut hati dan sokongan para pengundi dalam mendokong calon masing-masing untuk berkhidmat di Sungai Bakap (N20) ini.

Sejujurnya kami hargai setiap janji dan tawaran projek, jualan murah, beras tempatan yang hilang serta wang yang disampaikan kepada penduduk DUN Sungai Bakap.

Tidak kira dari jentera parti mahupun agensi kerajaan yang dikerah menyantuni kami. 

Alhamdulillah setelah lama kami diabai dan dianaktirikan, kini hampir sebulan kami ditatang bagai minyak yang penuh.

Pastinya tekad untuk berkhidmat dengan lebih baik dijanjikan oleh parti, ada yang kata perlu memilih calon yang mempunyai akses mudah dengan agensi dan pelaksana dasar di peringkat negeri dan federal, dalam kata mudahnya, perlu memilih calon kerajaan.

Mereka berkata, dengan memilih calon kerajaan, pasti tiada siapa akan terpinggir, pembangunan akan semakin rancak dan penduduk akan dapat peruntukan lebih.

Terima kasih atas cadangan itu, semua parti berhak memberi janji, ini negara demokrasi. 

Namun, kami tidak akan lupa, beberapa penggal lepas atau lebih enam tahun DUN Sungai Bakap telah diwakili oleh wakil rakyat daripada parti pemerintah, sama ada kerajaan negeri mahupun kerajaan Persekutuan.

Ketika itu, masalah air, lalu lintas, sekolah tamil sudah berlaku. Tetapi tidak diselesaikan oleh wakil rakyat terbabit walaupun beliau mempunyai akses mudah dengan agensi dan kerajaan.

Apatah lagi, DUN Sungai Bakap berada di dalam Parlimen Nibong Tebal yang diwakili seorang Menteri.

Sekolah tamil kini menjadi semak.

Masalah air sudah lebih enam tahun, wakil rakyat ketika itu tidak ambil peduli, masalah bertambah parah, akhirnya penduduk menubuhkan jawatankuasa sendiri, saban minggu penduduk ke pejabat air untuk mengadu, air tiada tetapi bil air tinggi.

Malangnya, suara kami tidak didengari. Kami tidak pasti mengapa ia terjadi sehingga kami diperlakukan sebegitu rupa, kami juga pembayar cukai.

Sehinggalah ada pilihan raya negeri pada 2022, kami sepakat untuk membuat perubahan, alhamdulillah perubahan berjaya dibuat.

Kami pilih arwah, kami pilih orang tepat. Dua hari selepas menang, arwah terus bekerja memperjuangkan nasib kami, aduan kami dibawa ke sidang DUN, pejabat air dan agensi kerajaan.

Akhirnya pengumuman projek dibuat, tetapi belum sempat dilaksanakan, arwah meninggal.

Tak mengapa, kami bersyukur kami pilih orang tepat untuk memperjuangkan nasib kami.

Lantaran itu, warkah ini  kami tulis sebagai tanda ingatan bersama.

Insya-Allah kami sudah ada calon yang tepat untuk mewakili kami, yang akan kami undi esok.

Orang baik, cerdik, bersama rakyat, pandai bekerja dan tidak memberi janji palsu wajar diberi tempat memimpin kawasan kami.

Kami juga menyeru agar semua penduduk di DUN Sungai Bakap untuk keluar mengundi esok.


Tempat kita, tanggungjawab kita.


Timang-timang anak penyu,

Timang sampai cucur atap,

Undi kami tolak janji palsu,

Demi kesejahteraan Sungai Bakap.


Tulus ikhlas,

Penduduk Sungai Bakap.

CnP.

0 comments:

Catat Ulasan