Sabtu, 6 Julai 2024

Liga Malaysia:Selangor bawa kes MFL ke CAS

 

SHAH ALAM: Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) dijangka akan membawa kes hukuman Liga Bolasepak Malaysia (MFL) ke peringkat Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Sukan, Mohd Najwan Halimi mengesahkan bahawa Selangor FC sudah mengupah peguam dan akan terus membuat rayuan dan membawanya ke peringkat lebih tinggi.

"Ini kerana sesuatu (hukuman) MFL sebelum ini lebih keras tetapi apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah baru ada pertimbangan.

"Tetapi Selangor FC masih lagi akan teruskan rayuan dan bawa ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung usul tergempar mengecam perbuatan ekstrim bersifat keganasan ke atas atlet sukan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini, petang semalam.

Ketika penggulungan usul tergempar itu, beliau menegaskan Selangor menolak sekeras-kerasnya budaya keganasan berkenaan.

"Yang paling mustahak, kita semua menjunjung kasih titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kecaknaan dan keprihatinan baginda terhadap isu yang kita bahaskan hari ini.

"Sebelum ini kita lihat sukan ini tiada perkara atau isu yang tegang sehingga memungkinkan seorang Sultan untuk menegur atau melontarkan pandangan baginda dan kita sebagai rakyat bahawa 'Daulat Tuanku' itu wibawa rakyat.

"Kita sama ada di peringkat kerajaan mahupun pembangkang, berdiri teguh di belakang Tuanku Sultan...Daulat Tuanku," katanya.

DUN Selangor petang semalam meluluskan usul tergempar mengecam perbuatan ekstrem dan keganasan terhadap atlet sukan terutamanya Faisal Halim yang disimbah asid, Mei lalu.

Usul berkenaan dibawa oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Abbas Azmi dan dibahas oleh lima ADUN yang mewakili semua parti sebelum dipersetujui sebulat suara oleh 56 ADUN Selangor.

Abbas Azmi membacakan usul tergempar di bawah Peraturan Tetap 17(1) di hadapan Timbalan Speaker DUN Selangor, Kamri Kamaruddin sebelum sesi membahas Kajian Separuh Penggal RS-1 (KSP RS-1).

-BH Online 

0 comments:

Catat Ulasan