KUALA LUMPUR: Banglo yang tersergam indah di Lorong Utara, Petaling Jaya milik Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini yang kini sudah dirobohkan untuk pembangunan projek komersial meninggalkan seribu kenangan buat adik angkat, Rosman Jasmi.
Sejak mengenali penyanyi bersuara lunak merdu hampir tiga dekad lalu, Rosman berkata, banyak kenangan manis dilalui dalam banglo mewah itu.
Rosman berkata, dia antara yang terawal menyaksikan transisi pembinaan banglo berkenaan.
"Sebaik sahaja berpindah dari Kenny Hills, arwah membeli sebidang tanah dan membina rumah di Lorong Utara. Pembinaan rumah melalui tiga fasa.
"Untuk fasa awal, kediaman dibina kecil sahaja. Selepas itu, arwah membuat pengubahsuaian dengan memperbesarkan lagi bahagian dapur.
"Ini kerana arwah suka menjamu rakan baik, sambil berbual di bahagian dapur. Fasa ketiga apabila arwah mengubah suai keseluruhan rumah dengan memilih konsep Mediterranean, Inggeris dan Perancis.
"Saya antara rakan yang menemani arwah untuk mencari material, barang rumah dan perhiasan. Arwah suka hiasan dalaman berkonsepkan Inggeris.
"Saya selalu usik arwah dengan mengatakan ruang tamu rumahnya seperti lobi hotel disebabkan terlalu banyak perabot mewah.
"Bagaimanapun, arwah beri alasan untuk memudahkannya menjalani sesi fotografi. Tidaklah bergambar di sofa sama kerana ada banyak ruang yang boleh dijadikan lokasi fotografi," katanya kepada BH Online.
Tambah Rosman, Sharifah Aini seorang yang sangat teliti dan cerewet, terutama berkaitan kediamannya.
"Arwah pantau kerja dilakukan kontraktor, sangat teliti dan tak mahu kerja asal boleh. Disebabkan sikap cerewet, dua arkitek cabut lari sebab tak tahan (ketawa)," imbaunya.
Pun begitu, kata Rosman, dia memahami kenapa penyanyi Seri Dewi Malam itu begitu teliti dalam pembinaan keseluruhan banglo yang didiami lebih 20 tahun itu.
"Ketawa, tangis, suka dan duka yang dilaluinya banyak berlaku dalam kediaman ini.
"Masa lapangnya banyak dihabiskan di rumah kerana arwah tidak suka berpeleseran atau bertandang ke rumah orang.
"Hasil pendapatan menerusi nyanyian juga banyak dihabiskan untuk mencantikkan banglonya. Hingga kini saya masih terbayang-bayang penampilannya yang suka mengenakan kraftan dan memakai cekak rambut, gaya biasa arwah apabila di rumah.
"Saya juga ada bilik khas di banglo berkenaan. Arwah hias bilik dengan warna hijau kerana itu kegemaran saya.
"Namun, saya tidak pernah bermalam di situ sebab tak selesa bermalam di rumah orang," ujarnya.
Mengulas tindakan anak arwah, Aliff Omar Ali menjual banglo yang memiliki surau di tingkat dua itu, Rosman berkata, keputusan anak tunggalnya itu adalah jalan terbaik.
"Aliff lakukan semua ini demi menunaikan tanggungjawab sebagai anak dan mengikut hukum Islam. Dia mahu harta arwah diagihkan mengikut faraid.
"Sekarang semua sudah selesai. Ada bahagian sudah diserahkan kepada waris sepatutnya, ada juga diwakafkan atas nama arwah dan Aliff juga sudah membeli rumah lain.
"Barang seperti lampu 'chandelier' disedekahkan ke masjid di selatan Thailand. Awal tahun lalu berlaku banjir besar di sana dan banyak masjid terjejas, jadi kami hantar menggunakan lori.
"Kalau nak ikutkan memang sayang kerana ada banyak kenangan, tetapi Aliff terpaksa buat semua demi tuntutan agama dan kasihnya kepada arwah ibu.
Moga pahala terus mengalir kepadanya. Aliff memang anak yang baik," ungkap Rosman.
-BH Online
0 comments:
Catat Ulasan