Wendy Subramaniam berkata amalan terima sumbangan luar termasuk syarikat arak kepada sekolah telah lama dipraktikkan, bukan untuk promosi alkohol.
Ketua Penerangan Gerakan Wendy Subramaniam berkata percanggahan pendapat antara komponen PN mengenai isu derma syarikat arak perlu dibincang dalaman bukan kritik secara terbuka.
PETALING JAYA: Gerakan tetap berpegang pada pendiriannya supaya kerajaan melonggarkan garis panduan dan membenarkan sekolah Cina bebas menerima sumbangan dari mana-mana pihak termasuk syarikat arak, di sebalik kritikan rakannya PAS.
Ketua Penerangan Wendy Subramaniam berkata percanggahan pendapat antara parti dalam PN mengenai isu itu perlu dibincang secara dalaman di antara pimpinan tertinggi gabungan.
Bukannya bercakap di luar dengan lantang, katanya kepada FMT, merujuk kenyataan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari yang kecewa dengan pendirian Gerakan itu, sambil membayangkan tidak mustahil ikatan politik mereka boleh putus pada PRU16.
“Dia (Fadhli) sudah salah faham. Anda tak boleh buat kesimpulan hanya dengan satu ‘headline’ (tajuk berita) saja, kita sokong bukan sebab nak promosi alkohol di sekolah tetapi sumber dana itu.
Kalau SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) tak terima sumbangan dari luar, mana cukup, dan amalan ini sudah lama dilaksanakan. (Dana dari syarikat luar) Bukan isu baru, katanya.
Semalam, Presiden Gerakan Dominic Lau berkata Kementerian Pendidikan tidak seharusnya menyekat ‘syarikat tertentu’ menyumbang dana kepada sekolah.
Menurutnya, langkah itu susulan kerajaan tidak memperuntukkan dana mencukupi kepada semua jenis sekolah, sambil menegaskannya tidak mempengaruhi pelajar menjadi peminum tegar.
Kementerian Pendidikan mengumumkan Jemaah Menteri mengekalkan garis panduan sedia ada berhubung penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah.
Garis panduan itu antara lain menggariskan aktiviti sumbangan kepada sekolah tidak boleh memapar dan mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah, selain penganjuran aktiviti melibatkan jenama minuman keras tidak boleh membabitkan pelajar Islam.
Jemaah Menteri akan memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular menerima sumbangan melalui lembaga pengelola sekolah dan yayasan, seperti diamalkan pentadbiran terdahulu dan tidak pernah dipertikaikan mana-mana pihak.
Wendy meminta mana-mana pemimpin PN tidak seharusnya menggunakan isu itu untuk menyemarakkan api kebencian atau merosakkan hubungan antara parti dalam PN.
Kita kena bijak tangani perbezaan ini dan tidak membiarkan orang luar campur tangan, tegasnya.
-Wak Labu Farm
0 comments:
Catat Ulasan