Sabtu, 27 Julai 2024

Isu arak di institusi pendidikan: Maszlee juga menempelak Guan Eng

 Ia mengenai Pendidikan dan Kesihatan!

Saya amat kesal membaca kenyataan YB Lim Guan Eng menempelak dan memperlekeh YBM Pendidikan, Pn Fadlina Siddik berhubung isu promosi syarikat arak di dalam acara melibatkan sekolah.

Apa yang dilakukan oleh YBM Pendidikan adalah selari dengan keputusan kabinet, falsafah pendidikan kebangsaan, pekeliling KPM sedia ada dan semangat MADANI yang dibawa oleh kerajaan perpaduan, iaitu mempromosikan gaya hidup sihat dalam pendidikan.

Membenarkan syarikat arak dipromosikan secara besar-besaran di dalam acara melibatkan sekolah adalah tindakan membuka kotak Pandora untuk membenarkan industri tidak sihat lain untuk dipromosikan di dalam ranah pendidikan seperti industri tembakau, industri Vape, industri perjudian dan hiburan kelab malam.

YB LGE tidak perlu melihat isu promosi arak di dalam acara melibatkan sekolah dari sudut politik, agama mahupun perkauman. Ianya berkaitan isu kesihatan, isu kesejahteraan hidup dan juga sivik. 

Berhubung dengan penglibatan YBTM Raj Munni Sabu aka Aiman Atirah dalam acara mempromosikan syarikat arak di dalam acara sekolah baru-baru ini pula, ianya adalah insiden yang memalukan dan menjatuhkan imej parti Amanah yang beliau wakili dan juga rakyat parlimen Sepang yang telah memilih beliau. Islam rahmah yang dibawa oleh parti Amanah tidak pernah sekali-kali bermaksud menghalalkan arak dalam acara sekolah. 

Sewajarnya jika beliau mempunyai maruah dan integriti, beliau meletakkan jawatan secara sukarela sebagai ahli parlimen secara terhormat dan juga meletakkan jawatan sebagai Ketua Wanita Amanah. Ia akan menjadi pengajaran kepada MP Amanah yang lain agar lebih teliti, berhati-hati dan menjunjung prinsip Rahmah yang sebenar.

Dr Maszlee Malik

Mantan Menteri Pendidikan

Credit 

0 comments:

Catat Ulasan