Sabtu, 13 Julai 2024

'UMNO tak takut hadapi 6 PRK, keputusan Speaker mengikut Perlembagaan' - Zahid Hamidi

 bharian.com.my

Oleh Zatul Iffah Zolkiply 
zatuliffah@bh.com.my
- Julai 13, 2024 
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap merasmikan mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus di Gong Badak. NSTP/GHAZALI KORI

KUALA NERUS: UMNO menyangkal dakwaan BERSATU yang menyatakan Kerajaan Perpaduan takut berdepan kekalahan, susulan keputusan tidak

mengisytiharkan kekosongan enam kerusi Parlimen yang menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tiada istilah takut menghadapi kekalahan dalam politik dan parti itu sedia bertanding sekiranya berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi enam Parlimen berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, terpulang kepada mana-mana pihak untuk membawa isu berkenaan ke peringkat seterusnya.

"Bukan kerana itu (takut kalah), kita rasa keenam-enam kerusi ini dulu adalah kerusi UMNO dan kalau (diumumkan) kosong pun UMNO akan bertanding.

"Dalam politik, mana boleh takut (dan) saya melihat pengumuman yang dibuat oleh Tan Sri Johari Abdul selaku Speaker Dewan Rakyat, terhadap kedudukan enam Ahli Parlimen yang telah terpecat daripada BERSATU kerana menyokong Perdana Menteri itu adalah keputusan yang dibuat mengikut Perkara 49, Perlembagaan Malaysia.

"Mungkin ada dalam kalangan mereka yang akan dicabar, mungkin mengemukakan bukti. Itu kita serahkan kepada mana-mana pihak untuk membawa ke mahkamah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus di sini hari ini.

Sebelum ini, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mendakwa enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang oleh bekas ahli parti itu tidak diisytiharkan kosong kerana Kerajaan Perpaduan takut berdepan kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK).

Muhyiddin berkata, disebabkan itu Kerajaan Perpaduan didakwa sanggup melanggar Perlembagaan Persekutuan berkait Akta Anti Lompat Parti, yang diperjuangkan mereka sendiri.

Ketika ditanya sama ada keputusan Speaker Dewan Rakyat, itu akan mendorong ahli politik kerajaan untuk berbuat perkara sama, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) yakin tidak ada ahli politik kerajaan akan berpaling tadah.

"Pelbagai tafsiran saya bagi tahu tadi. Insya Allah, keadaan itu tidak akan berlaku. Mengapa perlu menyokong pembangkang walaupun alasan-alasan politik tapi Insya Allah ini tidak akan berlaku," katanya.

-Wak Labu Farm 

0 comments:

Catat Ulasan