KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menolak permohonan parti itu supaya kerusi enam ahli Parlimennya yang berpaling tadah dikosongkan.
Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, keputusan tersebut diterima Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee yang juga Ahli Parlimen Beluran pada petang Selasa.
Johari menerusi jawapan balas tersebut memaklumkan, tidak berlaku kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan untuk keenam-enam kerusi bekas ahli parti berkenaan.
"Keputusan Yang Berhormat Speaker tersebut adalah amat mengecewakan kerana dengan jelas bercanggah dengan peruntukan tersurat dan tersirat Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.
"Keputusan Yang Berhormat Speaker dengan memberikan alasan-alasan dangkal dan tafsiran songsang menunjukkannya telah mencemar Perlembagaan Persekutuan sedangkan beliau telah berikrar untuk menjunjung dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Negara," katanya ketika sidang akhbar khas di Parlimen pada Rabu.
Sidang akhbar itu turut dihadiri sebahagian besar ahli Parlimen blok pembangkang termasuk Ketua Pembangkang yang juga Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ronald.
Enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar ialah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi; Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dalam masa sama berkata, peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa kerusi ahli Parlimen hendaklah menjadi kosong jika dia tidak lagi menjadi anggota parti politik tersebut setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik tersebut.
Dalam situasi ini katanya, jelas bahawa enam ahli Dewan Rakyat tersebut tidak lagi menjadi ahli Bersatu berikutan dengan peruntukan- peruntukan perlembagaan parti itu.
April lalu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) meluluskan permohonan pindaan perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang membolehkan parti itu mengosongkan kerusi enam ahli Parlimen yang bertindak memberi sokongan kepada pihak lawan.
Pindaan membabitkan Perkara 10 perlembagaan parti tersebut dibuat selepas mendapat sokongan 1,956 perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung Khas di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang sebelum itu.
-SH Online
0 comments:
Catat Ulasan