Rabu, 24 Ogos 2022

JANGAN MALUKAN NAJIB, TAKKAN BARU SEHARI MASUK PENJARA SUDAH NAK MINTA PENGAMPUNAN DIRAJA?

 


Hanya semalaman selepas Najib Razak mendekam di Penjara Kajang bagi menjalani hukuman penjara 12 tahun setelah Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya semalam, hari ini terlihat sudah ramai kalangan penyokongnya yang bercakap tentang usaha mendapatkan pengampunan diraja buat beliau.

Sekumpulan penyokong beliau juga turut menghantar memo kepada Istana Negara.

Kata mereka, atas kedudukan Najib sebagai bekas Perdana Menteri serta atas jasa-jasanya kepada negara, bekas Perdana Menteri itu amat berhak mendapat pengampunan diraja daripada Yang Dipertuan Agong.

Lagi pula, tambah mereka, selain Agong dan Najib mempunyai hubungan peribadi yang rapat, kedua-duanya juga berasal dari Pahang.

Dengan demikian, tiada masalah bagi Agong untuk memberi pengampunan kepada Najib, ujar mereka lagi.

Dalam hal berkaitan, jika ditanya kepada ramai peguam, hampir semuanya mempunyai tafsiran yang berbeza mengenai bila pengampunan diraja itu boleh diberikan.

Ada yang mengatakan pengampunan diraja hanya boleh diberi setelah menjalani separuh hukuman penjara, ada yang mengatakan setelah sekurang-kurangnya tiga bulan duduk di penjara dan ada pula mengatakan tiada had masa yang tertentu sebagai syaratnya.

Kata kelompok itu, waima setelah sehari masuk penjara pun boleh diberi pengampunan diraja jika Agong mahu berbuat demikian.

Wowww….terbayangkah kita hanya sehari setelah masuk penjara, tiba-tiba Najib sudah dibebaskan?

Begitu pun, untuk pertimbangan kewarasan sesama kita, hendaklah disedari bahawa Najib dipenjara kerana kesalahan jenayah iaitu rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram berkaitan dana SRC International, sebuah anak syarikat 1MDB.

Atas kesalahan tersebut, sudah tentu banyak pertimbangan harus menjadi perkiraan Agong, terutama mendapat nasihat daripada Peguam Negara terlebih dahulu.

Selain itu, sesuai dengan konsep Raja Berperlembagaan yang diamalkan negara ini, segala tindakan Agong dalam memberi sesuatu pengampunan diraja bukanlah atas budi bicara baginda secara peribadi, tetapi setelah dinasihati oleh Lembaga Pengampunan.

Lembaga Pengampunan pula dianggotai antaranya oleh Perdana Menteri, Peguam Negara dan menteri yang menjaga sesuatu wilayah di mana pesalah itu menjalani hukuman, manakala Agong adalah pengerusinya.

Dalam keadaan tersebut, rasanya mudah untuk kita memahami bahawa prosesnya tidaklah sesenang memasak roti canai segera – panaskan kuali, tebar dan kemudian boleh terus dimakan.

Dalam konteks Najib dan hukuman penjara yang diterimanya, bukan tidak boleh mengusahakan pengampunan buat beliau, tetapi jika kita imbas kembali sepanjang perbicaraan yang lalu, bekas Perdana Menteri itu sendiri berulang kali menyatakan beliau tidak takut berdepan proses keadilan, malah beberapa kali melaungkan ungkapan “Lawan Tetap Lawan”.

Beliau juga mahu berjuang bersendirian mendapatkan keadilan tanpa mengheret UMNO sekali bersamanya.

Makna kata, Najib adalah seorang yang berani, sesuai dengan darah Bugis yang mengalir dalam tubuhnya.

Lebih daripada itu, UMNO sendiri adalah sebuah parti perjuangan yang rentetan keberaniannya sejak melawan Malayan Union, jika disenaraikan, adalah begitu panjang sekali.

Kesimpulannya, Najib dan UMNO adalah rangkuman keberanian yang tiada tolok bandingnya.

Maka, kenapa para penyokongnya terlalu awal, baru hanya sehari beliau duduk di penjara, sudah mula bercakap soal pengampunan diraja?

Tak bolehkah tunggu tiga bulan, tiga tahun atau enam tahun baru nak bercakap tentang pengampunan diraja?

Cisss…janganlah malukan serta lekehkan keberanian Najib!! – ShahbudinHusin 24/08/2022

0 comments:

Catat Ulasan